
KUALA LUMPUR: Alasan majlis makan malam rasmi anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang menghidangkan arak adalah tajaan swasta disifatkan sebagai satu cubaan lemah untuk menutup tindakan amat memalukan dan tidak beretika.
Sebaliknya, desakan kini semakin kuat agar menteri terbabit meletakkan jawatan kerana melakukan ‘kesilapan bodoh’ yang bukan sahaja mencalarkan imej pentadbiran awam, tetapi juga dianggap berbahaya untuk negara.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana, Dato’ Ridza Abdoh Salleh menyifatkan insiden bagi promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 itu sebagai satu tamparan hebat kepada integriti kerajaan.
Tegasnya, perbuatan itu secara terbuka mendedahkan kelemahan perwatakan dan sifat tidak matang seorang menteri di mata rakyat.
“Apa yang paling meresahkan orang ramai ialah apabila mereka melihat menteri mereka mendedahkan sifat tidak matang dan kebodohannya, serta bangga dengan sifat itu.
“Ini bukan lagi soal minuman itu sendiri, tetapi tentang adab, budaya dan maruah seorang pemimpin yang sepatutnya menjaga nama baik jawatannya,” katanya.
Menurut Ridza, tindakan tersebut kelihatan seolah-olah sengaja dilakukan untuk menunjuk-nunjuk, satu sifat yang jauh daripada kematangan seorang negarawan dan jelas mencemari platform rasmi kerajaan dengan budaya asing tidak sesuai.
“Menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan tidak mempunyai tujuan sebenar. Sebaliknya, ia hanya menunjukkan kebodohan untuk menunjuk-nunjuk bahawa seseorang itu bangga menjadi seorang peminum arak,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata insiden memalukan ini menimbulkan persoalan serius mengenai kewibawaan dan pertimbangan menteri berkenaan dalam membuat keputusan yang lebih besar untuk negara.
Justeru, beliau menggesa menteri terbabit bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan tersebut.
“Saya rasa mana-mana menteri patut meletak jawatan kerana melakukan kesilapan bodoh seperti ini, kerana ia menunjukkan mereka tidak selamat untuk negara,” katanya lagi.
Ujarnya, tindakan itu satu penyelewengan kepercayaan awam yang tidak boleh dipandang ringan.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Datuk Sri Tiong King Sing dalam reaksinya terhadap gambar yang tular berkata, pihak industri dan sektor swasta teruja dengan acara itu sehingga menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam berkenaan.
Namun, alasan itu dilihat tidak mampu meredakan kemarahan awam yang menganggap sebarang acara rasmi kerajaan wajar patuh kepada prosedur dan sensitiviti budaya tempatan tanpa kompromi. – HARAKAHDAILY 13/10/2025











