
KUALA LUMPUR: Alasan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bahawa hidangan arak dalam majlis makan malam Global Travel Meet 2025 adalah inisiatif pihak industri dan swasta dipersoalkan PAS kerana bercanggah dengan fakta program rasmi kerajaan.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, program yang berlangsung pada 1–3 Oktober itu adalah anjuran Tourism Malaysia sendiri, termasuk dua majlis makan malam yang dimasukkan dalam itinerari rasmi.
Makan malam pertama pada 1 Oktober 2025 adalah majlis yang terdapat agenda pelancaran kalendar Tourism Malaysia 2026 dan dianjurkan oleh Tourism Malaysia sendiri.
Makan malam kedua pada 2 Oktober 2025 pula dikatakan anjuran MyCEB bertempat di MITEC Kuala Lumpur, namun Nurul Islam mendapati terdapat percanggahan dalam jawapan yang diberikan oleh Menteri.
“Semakan saya mendapati kenyataan Menteri bercanggah dengan kenyataan rasmi Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) yang menyatakan majlis berkenaan dianjurkan oleh Tourism Malaysia.
“MyCEB pula adalah agensi di bawah Tourism Malaysia sendiri, maka tiada alasan untuk memisahkan tanggungjawab,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Shah Alam.
Beliau kesal dengan tindakan menghidangkan arak dalam majlis makan malam yang turut dihadiri oleh jemputan dan kakitangan Kementerian yang beragama Islam.
“Tak pasal-pasal orang Islam terlibat dengan hidangan arak,” katanya sehubungan itu, beliau mendesak Perdana Menteri mengambil tindakan segera dengan memecat Menteri Pelancongan demi memelihara maruah dan sensitiviti umat Islam di negara ini. – HARAKAHDAILY 5/10/2025











