
KUALA LUMPUR: Gara-gara hidangan arak dalam sebuah majlis kerajaan, PAS hari ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memecat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, minuman terbabit melanggar Pekeliling Perbendaharaan dalam Peraturan Mengenai Keraiaan Rasmi yang jelas melarang perbuatan itu.
Malah beliau berkata, tindakan tersebut bercanggah dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Islam sebagai Agama Persekutuan.
“Perkara ini bukan sahaja memalukan negara, bahkan mengguris sensitiviti umat Islam tatkala seluruh negara sedang memberi tumpuan kepada keselamatan sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF).
“Ini bukan kali pertama Menteri Pelancongan gagal menjaga sensitiviti umat Islam, kita mendesak Perdana Menteri mengambil tindakan tegas memecat beliau serta merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis makan malam berkenaan sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas tular dakwaan bahawa minuman beralkohol dihidangkan secara terbuka dalam acara yang dimasukkan dalam agenda rasmi Tourism Malaysia.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, pihaknya memandang serius pendedahan mengenai minuman beralkohol yang dihidangkan dalam Majlis Makam Malam sempena Global Travel Meet baru-baru ini.
Katanya, alasan Menteri Pelancongan mengenai majlis yang tersenarai dalam itineri rasmi program Tourism Malaysia itu, dianjurkan oleh pihak industri dan swasta tidak boleh diterima.
“Kita memandang serius pendedahan minuman beralkohol dihidangkan dalam majlis makan malam sempena acara ini dan alasan yang diberikan sebagai inisiatif industri dan swasta adalah tidak masuk akal.
“Apabila sesuatu majlis telah dimuat naik dalam laman rasmi Tourism Malaysia dan dijadualkan sebagai sebahagian program rasmi maka kerajaan melalui Tourism Malaysia perlu bertanggungjawab,” katanya. -HARAKAHDAILY 5/10/2025











