
ALOR SETAR: PAS berupaya menjadi pilihan alternatif terbaik untuk rakyat bagi memimpin negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ketika parti-parti lain berhadapan dengan pelbagai krisis dalaman, PAS kekal utuh tanpa sebarang isu.
Ujarnya, rakyat Malaysia seharusnya melihat kestabilan yang ditunjukkan oleh PAS sebagai faktor utama dalam memilih kepimpinan negara pada masa hadapan.
“Yang stabil, tak ada isu apa ini, PAS sahaja. Jadi, rakyat Malaysia kena tengok kepada PAS lah. PRU16, alternatif untuk memimpin negara ini adalah PAS. Tak gaduh, elok sahaja,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran TV Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan pergolakan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Media tempatan sebelum ini melaporkan empat ketua bahagian Bersatu termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Wan Saiful Wan Jan, akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti itu berhubung komplot peralihan kepimpinan.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi enggan mencampuri urusan dalaman rakan komponennya itu dan menyifatkannya sebagai masalah ‘rumah tangga’ parti tersebut.
“Saya tak mau (mahu) campurlah hal-hal dalaman parti Bersatu. Saya pun tak ada nak ulas apa. Kalau urusan dalam rumah tangga, itu urusan dia sahaja. Tak ada kepentingan untuk kita,” ujarnya.
Beliau turut membandingkan kemelut tersebut dengan pergolakan dalaman Umno yang disifatkannya sebagai lebih teruk, terutamanya melibatkan Umno Sabah yang menuntut autonomi daripada pimpinan pusat.
“Orang lain berkelahi teruk lagi. Di Sabah, Umno sama Umno berkelahi. Umno Sabah minta autonomi daripada Umno pusat. Itu dalam Umno, berkelahi teruk lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2025











