
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu mengecam keras tindakan tindakan biadab tentera Israel yang menyerang, menghalang dan menahan aktivis kemanusiaan termasuk rakyat Malaysia dalam Misi Global Sumud Flotila ke Gaza.
Pesuruhjayanya, Dato’ Husain Awang berkata, peristiwa itu membuktikan Israel adalah rejim apartheid, zalim dan tidak berperikemanusiaan apabila menjadikan kapal bantuan kemanusiaan sebagai sasaran serangan.
“Kapal flotila yang hanya membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej solidariti daripada rakyat dunia kepada saudara kita di Palestin telah dijadikan sasaran serangan ketenteraan.
“Laporan turut menyebut bahawa kapal flotila diganggu dengan serangan dron, tembakan air dan akhirnya ditawan secara kasar oleh tentera laut Israel.
“Tindakan kejam ini jelas mencabuli undang-undang antarabangsa, melanggar Konvensyen Geneva serta mengkhianati semangat kemanusiaan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap rakyat Malaysia yang sanggup mengorbankan masa dan keselamatan demi menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang ditahan pada jam 8 pagi tadi.
“Dunia kini dapat menyaksikan sendiri kegilaan Israel. Mereka bukan sahaja membunuh rakyat Palestin saban hari, malah sanggup menyerang serta menahan aktivis dunia yang datang dengan tangan kosong membawa bantuan kemanusiaan.
“PAS Terengganu menzahirkan solidariti penuh terhadap semua aktivis Malaysia yang kini berada dalam tahanan Israel, termasuk tokoh masyarakat, pendakwah, selebriti dan anak muda yang berjiwa besar.
“Mereka adalah wira kemanusiaan negara yang sepatutnya dihormati, bukan diperlakukan sebagai tahanan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra menggerakkan saluran diplomatik termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah dan ASEAN bagi menuntut pembebasan segera semua aktivis terbabit.
Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak lagi berdiam diri terhadap kekejaman Israel.
“Jika kapal bantuan pun diserang, ini bermakna tiada lagi garis merah yang dihormati Israel.
“Negara-negara kuasa besar mesti mengambil tindakan tegas dan konkrit, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan kosong tanpa makna bagi rakyat Palestin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/10/2025











