Projek RTB: MB gesa kontraktor segera baiki laluan rosak

- Advertisement -

​ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menggesa kontraktor penyelamat bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Titi Kuala Sungai untuk melakukan penyelenggaraan berkala terhadap laluan sementara yang rosak dan menjadi punca kesesakan lalu lintas serta membahayakan pengguna jalan raya.

- Advertisement -

​Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau mengadakan lawatan ke tapak projek tersebut dan bertemu dengan pihak kontraktor, perunding, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mencari penyelesaian segera.

​Jelasnya, kerosakan pada sambungan tar di laluan sementara yang menggunakan lantai besi menyebabkan kenderaan terpaksa bergerak perlahan, sekali gus mengakibatkan kesesakan teruk terutamanya pada waktu puncak antara jam 7 hingga 9 pagi.

​“Bila orang sampai situ, (mereka) terpaksa perlahankan kenderaan. Pagi-pagi pukul tujuh hingga sembilan, di situ jadi jem (sesak),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran TV Kedah di Wisma Darul Aman, semalam.

​Menurut Muhammad Sanusi, keadaan platform sementara yang tidak stabil itu juga telah menyebabkan kemalangan melibatkan penunggang motosikal selain kerosakan pada kenderaan lain.

​“Saya minta kontraktor baiki penyambungan itu berkala. Apabila rosak sahaja, ia perlu diturap baru supaya orang lalu di situ tidak perlahan dan platform itu tidak longgar,” katanya lagi.

​Mengulas lanjut, ujarnya projek tebatan banjir itu merupakan salah satu ‘projek sakit’ warisan Kerajaan Persekutuan yang terbengkalai sejak 14 tahun lalu dan kini dikendalikan oleh kontraktor penyelamat selepas kontraktor asal gagal menyiapkannya.

​“Ada banyak sebenarnya projek-projek Persekutuan yang terbengkalai, projek sakitlah. Antaranya tebatan banjir itu. Ada sekolah, ada klinik sakit di Kedah ini. Tapi kita tak bising pun.

​“Fokus kita adalah berusaha untuk menyiapkannya dengan cepat. Kita cuba tolong… kita usahalah,” tambah beliau.

​Kelmarin, Muhammad Sanusi mengadakan lawatan kerja ke tapak projek RTB di Titi Kuala Sungai bagi meneliti perkembangan semasa projek khususnya dari aspek keselamatan dan keberkesanannya untuk kesejahteraan penduduk sekitar.

​Turut serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya negeri, Dato’ Mohammad Yusoff @ Munir Zakaria; Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak. – HARAKAHDAILY 2/10/2025

- Advertisement -