Pemuda PAS tuntut pembebasan rakyat Malaysia

Peserta Flotilla ditahan Zionis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim pendudukan Israel (IOF) yang didakwa telah menahan tujuh rakyat Malaysia bersama beberapa lagi peserta Sumud Flotilla, sebuah misi kemanusiaan antarabangsa tanpa senjata menuju ke Gaza.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden menegaskan bahawa tindakan tidak berperikemanusiaan itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta Konvensyen Geneva yang menjamin keselamatan sukarelawan dan konvoi kemanusiaan.

Katanya, Israel sekali lagi menunjukkan sikap angkuh dengan mencabuli undang-undang dunia dan menzalimi aktivis keamanan.

Sehubungan itu, Pemuda PAS menuntut pembebasan segera tanpa syarat terhadap semua tujuh rakyat Malaysia dan peserta flotilla lain yang ditahan, serta mendesak campur tangan segera Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra, saluran diplomatik, undang-undang antarabangsa dan tekanan politik serantau bagi menjamin keselamatan serta kepulangan mereka.

Pada masa sama, Pemuda PAS menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan seluruh komuniti antarabangsa menekan Israel menghentikan pencabulan terhadap misi kemanusiaan yang sah.

Pemuda PAS turut menegaskan pihaknya akan terus memantau rapat perkembangan isu ini, malah bersedia menggembleng kekuatan pemuda serta solidariti rakyat Malaysia bagi memastikan suara pembelaan terhadap Palestin dan aktivis kemanusiaan tidak dipadamkan.

“Usaha solidariti kemanusiaan tidak boleh dikekang oleh kuasa penjajahan. Kezaliman tidak akan kekal, kemanusiaan pasti menang,” tegas Afnan. – HARAKAHDAILY 2/10/2025

- Advertisement -