
KUALA LUMPUR: Siasatan sebuah akhbar tempatan mendedahkan rangkaian sekurang-kurangnya 263 akaun dikesan menjalankan kempen tersusun untuk menaikkan sokongan palsu terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Facebook rasmi miliknya.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyifatkan pendedahan itu sebagai satu perkara yang sangat memalukan.
“Ini satu perkara yang sangat memalukan! Rupa-rupanya Perdana Menteri itu selama ini hanya bergantung kepada akaun palsu untuk menaikkan ratingnya di media sosial. Berapakah dana awam yang digunakan untuk tujuan ini?
“Jika tidak benar dakwaan palsu ini, ambil tindakan segera. Ia dilaporkan secara terbuka dan lengkap dengan bukti. Ini benar-benar memalukan negara. Mana nak letak muka?” ujar Fadhli dalam media sosial miliknya.
Selain itu, analisis itu dilaporkan menunjukkan operasi itu berstruktur, menggunakan skrip sama, jadual kerja profesional serta dibahagi kepada kluster, walaupun ada akaun terbabit menafikan ia aktiviti siber berbayar.
Tambah laporan itu, walaupun Pejabat Perdana Menteri menafikan pembabitan kerajaan dan dana awam, sebahagian besar akaun terbabit kemudiannya dipadam, menimbulkan persoalan mengenai kesan terhadap wacana demokrasi.
Ahmad Fadhli turut menyindir pengendali akaun terbabit yang sekadar menukar satu dua perkataan sahaja bagi menaikkan imej Perdana Menteri.
“Akaun-akaun yang giat lambakkan pujian palsu kepada PMX ini kena rajin sikit ubah gaya bahasa dan strategi, sekadar nak ubah satu dua perkataan, tak padan dengan bayaran. Sekadar pandangan sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2025











