
PASIR PUTEH: Sambutan hangat rakyat membuktikan sukan mampu menjadi medium penyatuan masyarakat dan memperkukuh imej Kelantan sebagai destinasi pelancongan serta penganjuran acara bertaraf tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 memberi impak besar bukan sahaja dalam arena sukan, malah turut melonjakkan nama negeri di persada antarabangsa.
“LTdL menyerlahkan kehebatan sukan berbasikal bertaraf dunia, pada masa sama mengangkat nama negeri Kelantan di pentas antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Perlumbaan sejauh 198.2 kilometer dari Gerik ke Pasir Puteh itu menyaksikan ribuan rakyat membanjiri laluan perlumbaan, sekali gus menzahirkan sokongan padu terhadap acara bertaraf dunia yang memasuki edisi ke-29 tersebut.
Pada peringkat ketiga itu, pelumba pasukan XDS-Astana, Matteo Malucelli muncul juara selepas menewaskan pelumba berpengalaman Uno-X Mobility, Alexander Kristoff.
Zamakhshari turut menyampaikan hadiah kepada pemenang disaksikan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Mohd Kamarulzaman Ab Wahab dan Ketua Jajahan Machang, Mohd Zamri Ibrahim serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Kelantan, Feisal Abdullah.
LTdL 2025 merangkumi lapan peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan lebih 1,200 kilometer merentasi negeri-negeri utama di Semenanjung sebelum melabuhkan tirai di Menara Berkembar PETRONAS, Kuala Lumpur pada 5 Oktober.
“Semoga Kelantan terus menjadi destinasi penting dalam kalendar sukan dunia,” ujar Zamakhshari. – HARAKAHDAILY 1/10/2025











