Kehadiran Trump satu pengkhianatan terhadap Palestin

- Advertisement -

SEREMBAN: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke tanah air ini adalah satu pengkhianatan terhadap penderitaan rakyat Palestin dan bercanggah dengan dasar luar Malaysia yang konsisten menyokong perjuangan pembebasan Palestin.

- Advertisement -

​Yang Dipertua PAS Kawasan Seremban, Ustaz Rosmin Adam berkata, pihaknya dengan tegas menolak sebarang cadangan atau gesaan yang membenarkan kehadiran Donald Trump ke Malaysia, sama ada atas nama diplomasi mahupun kerjasama antarabangsa.

​Menurutnya, Donald Trump merupakan individu yang terbukti secara jelas bersubahat dengan rejim Zionis pimpinan Benjamin Netanyahu dalam jenayah kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

​”Sepanjang pentadbirannya, Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, memindahkan Kedutaan AS ke sana dan memberikan sokongan penuh terhadap penindasan Zionis ke atas Gaza,” ujarnya.

​Mengulas lanjut, beliau menyifatkan hujah bahawa kedatangan Trump kononnya sejajar dengan maqasid syariah adalah terpesong.

​”Prinsip maqasid syariah menuntut perlindungan nyawa, maruah dan agama. Kehadiran Trump sebaliknya adalah penghinaan kepada perjuangan umat Islam, kerana beliau bersubahat dalam pertumpahan darah rakyat Gaza yang tidak berdosa,” tegasnya.

​Justeru ujarnya, Malaysia tidak boleh sekali-kali menjadi pentas normalisasi bagi tokoh yang jelas tangannya berlumuran darah umat Palestin.

​”Kehadiran beliau bukan membawa maslahat, tetapi membawa mudarat besar terhadap imej Malaysia sebagai negara yang lantang memperjuangkan isu Palestin di pentas dunia,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 1/10/2025

- Advertisement -