Bebaskan aktivis flotilla segera – Hamzah Zainudin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin mengecam keras tindakan rejim Zionis Israel memintas Global Sumud Flotilla (GSF) dan menahan aktivis yang dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, menyifatkannya sebagai jenayah serta pencabulan terhadap Konvensyen Geneva dan undang-undang maritim antarabangsa.

- Advertisement -

Menurutnya dalam satu kenyataan rasmi pagi ini, sikap biadab dan zalim rejim pimpinan Benjamin Netanyahu itu bukan sahaja suatu bentuk intimidasi terhadap aktivis flotilla dari seluruh dunia, malah penghinaan besar terhadap usaha kemanusiaan global.

Beliau menegaskan krisis Palestin adalah tragedi kemanusiaan terbesar zaman moden dan dunia perlu bersatu menghentikan kezaliman ini dengan segera. Pada masa sama, katanya, jenayah kemanusiaan yang dilakukan ke atas umat Palestin mesti diadili di bawah undang-undang antarabangsa dan pelakunya dihukum.

Hamzah berkata, Perikatan Nasional berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin dan menuntut kerajaan Malaysia bertindak lebih tegas, khususnya melalui OIC, PBB, Kesatuan Eropah, ASEAN serta Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) bagi menghukum Israel, bukan lagi sekadar mengeluarkan resolusi tanpa tindakan.

Beliau turut menegaskan kerajaan perlu memastikan kumpulan aktivis rakyat Malaysia serta aktivis antarabangsa yang terlibat dalam misi flotilla itu dilindungi dan dapat kembali ke tanah air dengan selamat. – HARAKAHDAILY 2/10/2025

- Advertisement -