
KANGAR: Dunia kesusasteraan tanah air kehilangan seorang tokoh besar apabila Rejab Ismail atau lebih dikenali dengan nama penanya, Rejab FI, telah kembali ke rahmatullah.
Allahyarham yang lahir di Perlis pada tahun 1941 merupakan pengarang prolifik dan telah mengabdikan hampir seluruh hidupnya dalam dunia penulisan.
Sepanjang perjalanan kepengarangannya, Allahyarham meninggalkan warisan yang amat besar dengan menghasilkan lebih 135 judul buku, termasuk 45 buah novel.
Tulisannya merangkumi kategori kanak-kanak, remaja dan dewasa, 23 antologi cerpen, empat kumpulan puisi serta pelbagai karya lain.
Beliau turut menyumbang dalam bidang skrip dengan menghasilkan 15 skrip drama televisyen, 20 skrip drama radio dan empat skrip pentas, selain lebih 200 cerpen dan 400 puisi yang tersiar dalam pelbagai penerbitan.
Antara karyanya yang dianggap penting ialah kumpulan cerpen Papervine di mana menghimpunkan 24 cerpen terbaik beliau serta diberi pengiktirafan apabila diterbitkan semula tahun ini dalam Edisi Karya Malar Segar Penerima SEA Write Award.
Rejab FI pernah merangkul pelbagai anugerah berprestij termasuk SEA Write Award (Malaysia) 2016, Hadiah Sastera Nasional (1971 dan 1972), Hadiah Sastera Esso-GAPENA (1985) serta Hadiah Sastera Utusan-Public Bank sebanyak lima kali antara tahun 1994 hingga 1999.
Beberapa karya beliau juga dipilih sebagai teks rasmi Komponen Sastera (KOMSAS) dan teks Kesusasteraan Melayu, antaranya novel Sejambak Bakti yang digunakan untuk pelajar Tingkatan Satu di Sabah, Sarawak, Labuan dan Johor.
Karya Allahyarham turut menembusi dunia antarabangsa apabila sejumlah puisinya diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia, Mandarin dan Inggeris.
Kejayaan ini membuktikan kepengarangan Rejab FI tidak hanya berakar di tanah air, tetapi turut memberi makna kepada pembaca di luar negara.
Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat dunia sastera Malaysia, khususnya negeri Perlis yang melahirkan seorang tokoh tersohor dalam dunia penulisan.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama hamba-hamba Allah yang diredai. – HARAKAHDAILY 1/10/2025











