PAS Pulau Pinang tak halang GERAKAN guna logo sendiri

- Advertisement -

GEORGE TOWN: PAS Negeri Pulau Pinang menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan GERAKAN untuk menggunakan logo parti sendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, keputusan tersebut adalah hak setiap parti berasaskan strategi politik masing-masing.

PAS menghormati pendirian serta keyakinan GERAKAN dalam menampilkan identiti sendiri di mata rakyat Pulau Pinang khususnya, dan Malaysia amnya.

“PAS melihat langkah ini sebagai manifestasi kematangan politik dalam blok pembangkang yang meraikan kepelbagaian serta memperkukuhkan lagi semangat kerjasama strategik demi kepentingan rakyat,” jelasnya.

Beliau menambah, PAS Pulau Pinang meraikan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan keyakinan rakyat selagi mana komponen dalam Perikatan Nasional (PN) tetap menjaga persefahaman, kesatuan hati dan hala tuju perjuangan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, penggunaan logo parti terbukti menjadi senjata ampuh di beberapa negeri pada PRU ke-15 yang lalu.

Menurut Muhammad Fawwaz, PAS Pulau Pinang turut percaya bahawa walaupun dengan penggunaan logo berbeza, matlamat utama tetap sama iaitu mengembalikan kesejahteraan rakyat, menawarkan pilihan terbaik yang berasaskan keadilan dan kesejahteraan.

Juga katanya, untuk terus melaksanakan tadbir urus yang bersih serta menolak politik sempit memecahbelahkan masyarakat.

“Oleh itu, PAS akan terus bekerjasama erat dengan GERAKAN dan semua parti dalam PN untuk menggembleng tenaga dan idea demi memastikan aspirasi rakyat Pulau Pinang dan Malaysia dapat direalisasikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/10/2025

- Advertisement -