
KUBANG PASU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Prof Dr Haim Hilman Abdullah meluluskan sumbangan komputer riba kepada seorang penuntut institusi pengajian tinggi, Nurfatin Dayana Khairusadi, 18, yang merupakan seorang anak yatim piatu.
Keprihatinan beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri dizahirkan ketika beliau menziarahi pelajar tersebut di kediamannya di Kampung Paya Pahlawan, Jitra, di sini semalam.
Nurfatin Dayana baru sahaja memulakan pengajiannya di peringkat diploma di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (POLIMAS) dan memerlukan kelengkapan untuk proses pembelajarannya.
Menurut Dr Haim Hilman, beliau amat tersentuh dengan ketabahan dan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh Nurfatin Dayana di mana kini hidup berdikari demi membina masa depan lebih cerah.
Katanya, ujian kehilangan kedua-dua ibu bapa tidak mematahkan semangat remaja itu, malah dijadikan pembakar semangat untuk terus berjaya dalam bidang akademik.
“Meskipun diuji dengan kekurangan kasih sayang ibu bapa, adik Fatin tetap memilih jalan ilmu dengan cita-cita yang besar. Inilah kekuatan luar biasa seorang anak muda yang tidak menjadikan kekurangan sebagai alasan,” ujar beliau.
Tambah beliau, ketika ditanya mengenai keperluan yang paling mendesak, Nurfatin Dayana dengan rendah hati memaklumkan bahawa beliau memerlukan komputer riba untuk tujuan pembelajaran.
“Tanpa berfikir panjang, saya terus meluluskan permohonan itu dan akan menyerahkan laptop tersebut dalam masa terdekat,” jelas beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Dalam pada itu, Haim Hilman turut menasihati pelajar tersebut agar menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.
“Saya berpesan agar beliau belajar bersungguh-sungguh, menimba ilmu sebaiknya dan terus melakar kejayaan yang mampu membanggakan ibu dan ayahnya di alam sana.
“Moga Allah SWT melindungi langkah adik Fatin dan menjadikan beliau insan berjaya yang memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat, negeri dan negara,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 1/10/2025











