
POKOK SENA: Seorang pemimpin sejati tidak akan sesekali berpura-pura atau berlakon demi meraih populariti dan sokongan, sebaliknya, keikhlasan dan peribadi yang tulen menjadi aset terpenting perlu dipertahankan.
Prinsip ini adalah antara pesanan penting yang pernah diungkapkan oleh mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Mad Nor yang ketika itu sebagai Setiausaha Politiknya.
Menurut Sanusi, Allahyarham Tan Sri Azizan berpesan agar seorang pemimpin tidak berlakon untuk menjadi ‘watak’ tertentu demi kepentingan politik.
Beliau mengimbas kembali satu peristiwa di mana Allahyarham enggan memakai jubah dan serban untuk menghadiri suatu pertemuan, kerana ia bukan perwatakan beliau yang sebenar.
“Pesanan beliau, pertama sekali, tak boleh berlakon untuk jadi orang ini, untuk jadi seseorang ini, untuk bawa watak apa-apa. Tak boleh berlakon,” kata Sanusi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Haul Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak di Masjid Muassasah Darul Ulum, di sini pada Jumaat, 26 September lepas.
Allahyarham Tan Sri Azizan menegaskan, apa jua perbuatan yang dibuat atas dasar berlakon tidak akan mendapat pahala kerana ia tidak ikhlas.
“Ibadatkah, apa-apa perbuatan atas dunia ini, kalau dibuat atas berlakon, tak ada pahala. Tak ikhlas pasal berlakon, ikut skrip,” jelas Sanusi, mengulangi pesanan Allahyarham.
Selain itu, seorang pemimpin yang ikhlas juga tidak akan menceritakan kebaikan dilakukannya kepada orang ramai.
Sanusi mendedahkan bahawa Allahyarham Tan Sri Azizan melarang beliau daripada menguar-uarkan sumbangan derma atau kebaikan yang dilakukannya.
“Hang jangan habaq apa pun. Aku duk potong duit apa, aku duk derma apa, hang jangan habaq kat orang. Kalau aku hampir cerita, aku jadi riak lagi sekarang. Duit habis, pahala tak dapat, riak jadi dosa,” kata Sanusi, menukilkan pesanan Allahyarham.
Beliau menambah, seorang pemimpin yang hebat lebih baik membiarkan sebahagian daripada cerita kebaikannya hanya diketahui selepas kematiannya.
“Supaya amalan itu, pahala itu terpelihara, terjaga, tidak menjadi debu yang berterbangan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
Prinsip ini, yang dipegang teguh oleh Allahyarham Tan Sri Azizan, menunjukkan bahawa kepimpinan sebenar lahir daripada keperibadian tulen dan amalan ikhlas, bukan daripada lakonan atau populariti yang dicipta.
Majlis tersebut diadakan bagi memperingati kembali jasa Allahyarham dalam mengangkat pendidikan Islam dan kepimpinan ummah.
Turut diadakan gimik Pelancaran Infaq Istiqamah Kolej Islam Darul Ulum (KIDU), pelancaran kopi dan koko KIDU, pelancaran Van Sekolah Menengah Islam Darul Ulum (SMIDU) dan pelancaran Fun Run Menteri Besar (MB). – HARAKAHDAILY 30/9/2025











