KFL Convention lahirkan pemimpin masa depan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan Future Leaders Convention (KFL Convention) menjadi platform penting melahirkan generasi pemimpin muda berilmu, berintegriti dan berani mencorak masa depan negeri seiring gagasan Kelantan Futures State 2033.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kepimpinan yang dikehendaki bukan sekadar mengisi jawatan, sebaliknya menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab.

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya,” katanya ketika merasmikan KFL Convention di sini.

Beliau menegaskan konvensyen itu bukan acara biasa tetapi sebahagian ekosistem membina kepimpinan belia yang matang dengan pandangan, yakin dengan diri dan berani bertindak.

“Firman Allah dalam Surah Al-Qasas ayat 26, sesungguhnya orang yang paling baik untuk diambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.

“Inilah asas kepimpinan yang kita tekankan, lahirnya generasi ‘al-Qawiyy’ dan ‘al-Amin’ yang akan membawa Kelantan ke arah negeri maju, sejahtera dan diberkati Allah,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, konvensyen itu memberi ruang kepada anak muda berfikir jauh ke hadapan.

Beliau berkata, program tersebut bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya medan untuk melahirkan generasi belia yang yakin dengan diri, matang dalam pandangan dan berani membuat tindakan.

“Melalui KFL, kita mahu lahirkan generasi ‘al-Qawiyy’ iaitu kuat dari sudut ilmu, kemahiran dan daya tahan, serta ‘al-Amin’ iaitu berintegriti, berakhlak dan amanah,” katanya.

Menurutnya, kepimpinan bukan soal jawatan, tetapi soal amanah yang mesti dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Sabda Nabi SAW, setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya.

“Belia Kelantan tidak boleh sekadar menjadi pengikut, sebaliknya perlu tampil sebagai pencetus idea, pembawa solusi dan penggerak perubahan,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan konvensyen itu selari dengan gagasan Kelantan Futures State 2033 yang mahu melihat negeri ini maju, berdaya saing, sejahtera dan sentiasa diberkati Allah.

“Kepimpinan muda mesti dipersiapkan dari sekarang. Jangan pernah takut mencabar diri kerana keberanian memimpin, memikul tanggungjawab dan membawa perubahan adalah kunci lahirnya kepimpinan yang dihormati,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/9/2025

- Advertisement -