HCM: Semarak dan budaya kebersihan persekitaran warga

- Advertisement -

JERAI: Kerajaan Negeri Kedah memilih Daerah Yan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi sebagai lokasi pelancaran Hari Cuci Malaysia (HCM) Peringkat Negeri Kedah 2025 berlangsung di Pekan Sungai Limau Dalam, di sini pada Sabtu, 27 September lepas.

- Advertisement -

​Majlis perasmian program disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samad, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau.

​Beliau menyeru seluruh masyarakat agar tidak menganggap program gotong-royong ini sebagai acara tahunan semata-mata, sebaliknya menghayatinya sebagai amalan dan budaya hidup seharian.

​“Marilah kita bersama-sama menjadikan semangat gotong-royong ini sebagai sebahagian daripada budaya hidup seharian. Biarlah ia menjadi amalan berterusan yang mampu membentuk masyarakat yang lebih prihatin terhadap kebersihan, kesihatan, dan kesejahteraan bersama,” ujarnya.

​Beliau menambah, setiap individu perlu memainkan peranan dalam menjaga kebersihan persekitaran seperti membuang sampah ke dalam tong, membersihkan halaman rumah dan memelihara ruang awam, tanpa meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak berkuasa semata-mata.

​Mengulas mengenai pemilihan lokasi, Mohd Azam berkata, Daerah Yan amat bertepatan untuk diketengahkan sempena Tahun Melawat Kedah kerana keunikannya yang menggabungkan tiga elemen tarikan utama.

​“Sawah bendang yang terbentang luas, laut yang menghampar indah, serta Gunung Jerai yang berdiri megah. Inilah keunikan Daerah Yan yang menjadi kebanggaan kita dan ia menawarkan pakej pelancongan yang lengkap.

​“Justeru, pelaksanaan HCM di sini amatlah penting bagi memastikan keindahan dan kebersihan Daerah Yan terus terpelihara sebagai destinasi pelancongan pilihan,” jelasnya.

​Program anjuran SWCorp itu diadakan serentak di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap kebersihan, selaras dengan sambutan Hari Pembersihan Sedunia (World Cleanup Day) yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

​Ia mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan seramai 470 orang melibatkan 32 jabatan kerajaan, agensi swasta, para pelajar dan penduduk setempat.

Anggaran kutipan sisa pepejal dalam program ini adalah sebanyak 800 kilogram, tidak termasuk barangan kitar semula.

​Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Dipertua Majlis Daerah Yan, Maznim  Ismail; ADUN Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saat; serta Pengarah SWCorp Negeri Kedah, Nordin Amat.

​Program ini turut diisi dengan pelbagai aktiviti lain, termasuk kempen pencegahan denggi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Yan yang berjaya mengenal pasti dan membersihkan lebih 30 lokasi berpotensi pembiakan Aedes. – HARAKAHDAILY 29/9/2025

- Advertisement -