Hari Malaysia kukuh ukhuwah di Kg Behor Gandil

- Advertisement -

KANGAR: Sambutan Hari Malaysia 2025 bukan sekadar menghidupkan semangat patriotisme, malah berjaya mengukuhkan silaturahim dalam kalangan penduduk Kampung Behor Gandil, di sini.

- Advertisement -

Program anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Behor Gandil dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu menerima sambutan yang amat baik daripada penduduk dan tetamu.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dalam ucapannya menyifatkan usaha masyarakat kampung menganjurkan program seperti ini sebagai bukti kekuatan perpaduan rakyat di negeri ini.

Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang turut berkongsi pengalamannya menghadiri gotong-royong melibatkan empat kampung di Pauh, Arau baru-baru ini.

“Mereka jangka 100 orang saja, tapi yang hadir lebih 300 orang. Alhamdulillah, suasana sebegitu membuktikan gotong-royong bukan sahaja membersihkan laluan jalan, tetapi juga menyuburkan rasa kebersamaan,” ujarnya.

Program dimulakan seawal pagi dengan pengisian yang pelbagai dan bermanfaat antaranya bengkel Kompos bersama UniMAP, penyampaian hadiah hias rumah dan lorong serta cabutan bertuah.

Turut diadakan peraduan mewarna bagi kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun dan pertandingan ‘Kerabu Sedap’.

Mohd Shukri menegaskan bahawa penganjuran program sebegini perlu dijadikan budaya agar masyarakat terus hidup dalam suasana harmoni.

“Saya harap semua penduduk kampung menjaga kebersihan. Mudah-mudahan apa yang kita buat mendapat keberkatan Allah,” tambah beliau.

Dalam ucapannya, Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Perlis itu turut menyentuh tentang cabaran dadah yang menjadi kebimbangan utama kerajaan negeri.

“Dadah ini kita paling risau. Saya harap rakyat dan anak-anak kita jangan terlibat dengan dadah,” tegasnya.

Turut hadir memeriahkan program ialah Senator Baharuddin Ahmad dan wakil UniMAP, Dr Roszanita Che Amat serta Ahli Majlis Perbandaran Kangar, Noramrul Amri Chan dan Noor Arrizal Mohd Fadzil.

Juga Penyelaras Pusat Khidmat Menteri Besar, Khairul Md Nopiah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Perlis, Nazuwan Rashid serta pimpinan setempat.

Mohd Shukri merakamkan penghargaan kepada UniMAP kerana sentiasa turun padang menyokong program kemasyarakatan.

Beliau yakin kerjasama erat antara kerajaan negeri, institusi pendidikan dan masyarakat akan memperkukuh perpaduan rakyat.

“Saya harap agar semangat Hari Malaysia terus subur di hati rakyat Perlis dan menjadi asas kepada negeri yang aman, bersih serta harmoni,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/9/2025

- Advertisement -