
KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar pencapaian baharu melancarkan Centre for Offshore Renewable Energy (CEFORE), pusat penyelidikan berimpak tinggi yang dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat dan komuniti setempat.
CEFORE diwujudkan hasil kerjasama strategik UMT bersama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), menggabungkan kepakaran akademia dan industri dalam memacu agenda peralihan tenaga negara ke arah lebih lestari.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut berangkat, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini kelmarin.
Naib Canselor UMT, Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, Terengganu mempunyai kelebihan dari aspek geografi dan sumber semula jadi, khususnya aliran angin yang berterusan.
“CEFORE bukan sekadar pusat penyelidikan, tetapi platform ‘Industry on Campus’ yang menghubungkan pelajar, penyelidik dan rakan industri untuk menghasilkan penyelesaian praktikal kepada cabaran tenaga negara,” katanya.
Beliau berkata, CEFORE akan memberi tumpuan kepada pelbagai bidang tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti angin, ombak, arus pasang surut, solar terapung, hidrogen hijau serta teknologi penyimpanan tenaga.
“Pusat ini juga berperanan sebagai fasiliti ‘Proof of Operation’ untuk menguji keberkesanan sistem dalam keadaan operasi sebenar dari segi prestasi, keselamatan dan kebolehpercayaan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, penubuhan CEFORE mencerminkan komitmen syarikat itu dalam menyokong aspirasi negara mempercepatkan peralihan tenaga.
“Dengan kepakaran penyelidikan UMT, CEFORE mampu menjadi pemangkin pembangunan tenaga boleh diperbaharui sekali gus mengangkat kedudukan Malaysia dalam transformasi tenaga hijau di rantau ini.
“Lebih penting, ia bukan sahaja menyumbang kepada matlamat neutral karbon negara, malah membawa manfaat nyata kepada komuniti tempatan,” katanya.
Dalam majlis sama, UMT turut mengumumkan pelancaran program baharu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dengan pengambilan pertama seramai 40 pelajar bermula Oktober ini.
Kewujudan CEFORE dijangka bukan sahaja memperkukuh bidang penyelidikan, malah memberi kesan sosioekonomi positif kepada masyarakat sekitar termasuk golongan nelayan melalui pemindahan ilmu, pembangunan modal insan dan peluang edu-pelancongan.
UMT yakin pusat itu akan menjadi pemangkin ke arah pencapaian sasaran negara mencapai neutral karbon menjelang 2050, selain mengangkat Terengganu sebagai hab kecemerlangan tenaga lestari serantau. – HARAKAHDAILY 29/9/2025











