
PENGKALAN CHEPA: Program Dapur Hijau mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk membudayakan aktiviti pertanian di halaman rumah sebagai sebahagian gaya hidup sihat rakyat Kelantan, kata Dato’ Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Agromakanan dan Komoditi Negeri itu menegaskan, inisiatif tersebut turut menyokong usaha kerajaan ke arah jaminan makanan yang mampan di samping memberi manfaat terus kepada keluarga.
“Inisiatif ini bukan sekadar menggalakkan aktiviti bercucuk tanam, malah membina kesedaran bahawa setiap rumah mampu menjadi sumber rezeki.
“Melalui pelaksanaan kali ini, seramai 90 peserta dari DUN Chempaka, Panchor dan Kijang menerima kit pemula pertanian Dapur Hijau sebagai dorongan untuk memulakan kebun mini keluarga,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising berkata ketika merasmikan program berkenaan peringkat Parlimen Pengkalan Chepa 2025 di Kompleks Purnama, di sini semalam.
Menurut beliau, pendekatan itu seiring dengan yang diangkat pada tahun ini.
“Apabila kita tanam dan makan hasil sendiri, ia lebih segar, lebih jimat dan memberi nilai ibadah kerana ia rezeki halal untuk keluarga,” ujarnya pada program bertema “Keluarga Bertani, Sihat Harmoni” itu.
Sementara itu, ADUN Chempaka, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, Dapur Hijau bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah membuka ruang kepada masyarakat menghidupkan kembali budaya bercucuk tanam.
“Setiap halaman rumah boleh bertukar menjadi sumber rezeki dengan tanaman segar hasil tangan sendiri.
“Apabila kita menanam untuk keluarga, ia bukan sekadar usaha bercucuk tanam, tetapi menjadi ibadah kerana menyediakan rezeki halal daripada titik peluh sendiri,” katanya.
Nik Bahrum berkata, program itu juga memberi inspirasi kepada rakyat supaya tidak terlalu bergantung kepada pasaran, sebaliknya membina daya tahan melalui tanaman sendiri.
Program tersebut turut dihadiri wakil Jabatan Pertanian Kelantan, wakil dari DUN Panchor dan Kijang serta mendapat kerjasama Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd atas peranan aktif menjayakan program yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat. – HARAKAHDAILY 29/9/2025











