
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan PAN dan Umno perlu menyatakan pendirian mereka berhubung jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia.
Menurutnya, rakyat sedang menantikan penjelasan kedua-dua parti itu, lebih-lebih lagi PAN pernah mendakwa sebagai parti berprinsip dan tegas, bukannya sekadar menurut perintah atau ‘yes man’.
“Malah, sejarah mencatatkan bahawa Presiden PAN merupakan antara tokoh yang lantang menentang pencerobohan dan penindasan Israel serta mengecam sikap Amerika Syarikat di Timur Tengah. Di manakah pendirian tegas PAN terhadap isu Palestin hari ini?
“Mengapa mereka terus membisu terhadap tindakan Perdana Menteri (PMX) menjemput Donald Trump ke Malaysia sebagai tetamu kehormat, sedangkan tangannya masih berlumuran darah rakyat Palestin?” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut menegaskan bahawa Umno juga perlu menyatakan pendirian jelas kerana sikap berdiam diri hanya akan dilihat sebagai tanda persetujuan terhadap kedatangan Trump.
“Sebagai parti komponen yang menyokong kepimpinan PMX dalam kerajaan, sikap berdiam diri hanya akan dilihat sebagai tanda persetujuan terhadap kedatangan Trump ke negara ini.
“Ketika dunia sedang mengutuk kekejaman Israel dengan sokongan Amerika Syarikat, sikap membisu ini amat mengecewakan dan pasti melukakan hati umat Islam di negara ini yang bersolidariti bersama saudara mereka di Palestin,” kesalnya.
Menurutnya, pendirian jelas perlu dinyatakan agar tidak termasuk dalam golongan yang diancam oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabda Baginda.
“Maksudnya, ‘Apabila timbul fitnah atau bidaah, dan Sahabat-sahabatku dicerca, maka orang berilmu wajib menzahirkan ilmunya. Jika dia tidak berbuat demikian, maka ke atasnya laknat Allah.
“(Ia termasuk dilaknat) malaikat dan seluruh manusia’,” jelasnya memetik hadis yang diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Jami’.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang itu turut mempersoalkan sama ada wajar Malaysia berdiam diri hanya kerana alasan ekonomi sedangkan masih mempunyai pilihan lain.
“Ketika saudara-saudara kita di Palestin terus dizalimi tanpa belas ihsan oleh Israel yang disokong Amerika Syarikat, menjemput Donald Trump untuk hadir ke Persidangan ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara) bukanlah suatu keutamaan.
“Ingatlah, saudara kita di Gaza terus dibunuh, dan tindakan kita akan memberi isyarat penting kepada seluruh dunia. Sikap kita menentukan maruah negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/9/2025











