Tragedi jatuh salur kumbahan: Utama aspek keselamatan

PAS Negeri Sembilan tuntut tindakan serius di semua sekolah

- Advertisement -

SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil tindakan segera dan serius dalam memastikan keselamatan murid di semua sekolah seluruh negara.

- Advertisement -

Gesaan ini dibuat susulan tragedi menyayat hati yang meragut nyawa seorang murid Tahun 3 di Sekolah Kebangsaan (SK) Lenggeng pada 27 September kelmarin.

​Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, KPM wajar memberikan perhatian serius terhadap aspek keselamatan murid di semua sekolah di seluruh negara.

​“Pemeriksaan menyeluruh dan penyelenggaraan segera terhadap semua kemudahan asas, terutamanya yang berisiko, mesti dilaksanakan bagi memastikan keselamatan murid sentiasa diutamakan.

​“Jalankan siasatan rapi bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya sekiranya terdapat unsur kecuaian dalam insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

​Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, turut menyampaikan rasa dukacita dan takziah mendalam kepada keluarga mangsa, Almarhum adik Abdul Fatah, 9 tahun.

​“Kami amat memahami kedukaan yang sedang ditanggung oleh keluarga mangsa, khususnya ayah mangsa yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), dan ibu mangsa yang juga merupakan guru di sekolah berkenaan, serta seluruh warga sekolah.

“PAS Negeri Sembilan mendoakan agar roh anak syurga ini ditempatkan dalam kalangan penghuni Jannah,” katanya lagi.

​Tragedi itu berlaku pada 27 September, apabila mangsa maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter di kawasan sekolah.

​Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi ketika program kejohanan sukan olahraga sedang berlangsung.

Mangsa dilaporkan terjatuh setelah memijak penutup lubang jenis fiber yang pecah. – HARAKAHDAILY 29/9/2025

- Advertisement -