‘Batal jemput Trump atau rakyat bangkit menentang!’

Malaysia perlu tegas bersama Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak Kerajaan Malaysia menarik balik jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-47 di ibu negara pada Oktober ini.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jemputan itu wajar dibatalkan sebagai tanda bantahan dan ketidakpuasan hati terhadap pendirian Trump yang terang-terangan menyokong Israel serta menjadi sekutu utama dalam melakukan genosid terhadap rakyat Gaza khususnya, dan rakyat Palestin amnya.

“Malaysia tidak sepatutnya berbangga duduk sepentas bersama pemimpin yang zalim, tidak berperikemanusiaan, dan menjadi penyokong utama keganasan global.

“Tindakan Amerika Syarikat yang berterusan menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sedangkan hampir seluruh dunia bersatu menentang, jelas menunjukkan bahawa Trump tidak layak berada di negara mahupun rantau ini.

“Apakah kita masih boleh menerima tindakan Amerika Syarikat yang bukan sahaja enggan menyokong resolusi menuntut gencatan senjata serta-merta dan pembebasan semua tebusan.

“(Ia) malah menolak tuntutan dunia agar Israel membuka sekatan bantuan kemanusiaan dan menghentikan serangan ketenteraan di Gaza? Sampai tahap manakah pemimpin Malaysia harus terus berkompromi dan bertoleransi?” ujarnya Timbalan Presiden PAS itu.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, Allah menegaskan dalam surah Hud ayat 113 iaitu sesungguhnya Allah telah memberi amaran agar tidak cenderung kepada golongan yang zalim, dengan ancaman amat keras.

Menurutnya, pelik apabila hampir seluruh negara di dunia mengecam Presiden Amerika Syarikat atas keterlibatan dalam tindakan melampau Israel terhadap Iran, Yaman, Qatar, Iraq, dan negara-negara serantau, Malaysia pula memilih untuk bersekongkol dengan penzalim.

“Usaha Perdana Menteri untuk dilihat lantang membantu rakyat Palestin tidak sepatutnya tercemar dengan tindakan menjemput dan duduk bersama individu yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan ribuan rakyat Palestin.

“Presiden Trump tidak wajar diraikan sebagai wira atau negarawan. Batalkan segera jemputan tersebut atau rakyat akan bangkit menyatakan penentangan,” desaknya.

Sebagai peringatan, beliau turut memetik firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 52 yang menggambarkan orang munafik mempunyai hati sakit bersegera mendekati Yahudi dan Nasrani kerana takut ditimpa bencana, lalu mengharap perlindungan mereka.  – HARAKAHDAILY 29/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -