Insurans kesihatan melonjak: Kerajaan jadi pemerhati bisu

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Kos premium insurans kesihatan yang melambung tinggi kini bukan sahaja membebankan para majikan, malah turut menghukum golongan pekerja di seluruh negara.

- Advertisement -

Perkara yang dahulu dianggap sebagai hak asas dalam pekerjaan iaitu perlindungan kesihatan menyeluruh kini semakin terhakis apabila banyak majikan terpaksa menukar pelan.

Syarikat mula beralih kepada polisi asas, memperkenalkan skim bayaran bersama (co-payment) serta memotong faedah pergigian, optik dan tanggungan keluarga.

Pengarah Penerangan PAS Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid berkata, kesan paling ketara dirasai oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang beroperasi dengan aliran tunai terhad.

“Apabila premium insurans perubatan naik maka liabiliti, kebakaran dan harta benda melonjak mendadak dengan itu majikan dipaksa membuat pemotongan yang merugikan pekerja,” tegas beliau.

Kenaikan kos operasi ini ujarnya, memaksa majikan menurunkan siling faedah kesihatan, mengehadkan prosedur perubatan dilindungi, malah ada terus beralih kepada pelan asas semata-mata untuk menjimatkan kos.

Menurutnya, ada juga syarikat memindahkan kos tambahan kepada pekerja melalui ‘co-payment’ lebih tinggi atau potongan gaji, sementara sebahagian lagi menaikkan harga produk dan perkhidmatan bagi menampung peningkatan kos operasi.

“Langkah ini mungkin membantu kewangan syarikat, tetapi ia menghancurkan kebajikan kesihatan pekerja,” ujar beliau.

Laporan Malaysia Employee Benefits and Wellbeing Report petiknya, mendedahkan majikan di Malaysia kini berdepan kenaikan kos faedah antara lima hingga 10 peratus setahun, suatu angka yang membimbangkan.

Anas Soffy menegaskan krisis faedah kesihatan pekerja kini berada di tahap paling parah dan kerajaan tidak boleh terus berdiam diri.

“Premium insurans melonjak tanpa kawalan, sementara majikan, khususnya PMKS, semakin tertekan menanggung kos operasi. Kawalan terhadap syarikat insurans yang menaikkan premium sesuka hati mesti dilaksanakan segera,” tegas Anas.

Beliau menggesa kerajaan memperkenalkan insentif cukai atau subsidi khas, selain membina sistem nasional yang benar-benar menjamin kebajikan kesihatan pekerja.

Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan keperluan kerajaan memantau ketelusan caj hospital dan klinik di mana sering mengenakan bayaran melambung tanpa kawalan.

“Jika kerajaan terus membiarkan kerakusan industri perubatan, rakyat akan terus jadi mangsa. Pekerja pula akan mewarisi generasi tanpa jaminan kesihatan, manakala PMKS pula semakin tercekik sehingga mungkin gulung tikar,” ujar beliau.

Anas Soffy memberi amaran, kegagalan kerajaan menangani isu ini akan menyebabkan daya saing negara di pentas global runtuh.

“Sampai bila kerajaan mahu menjadi pemerhati bisu? Sudah tiba masanya dasar kesihatan pekerja diperkukuh sebagai satu keutamaan nasional,” tegas. – HARAKAHDAILY 29/9/2025

- Advertisement -