Skandal falsifikasi dokumen cemar nama negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) memandang serius keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan denda RM1.9 juta (CHF 350,000) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Serta tindakan menggantung dan mendenda tujuh pemain selama setahun akibat penggunaan dokumen dipalsukan berdasarkan Artikel 22, Kod Etika FIFA (FDC).

Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Mantan Naib Presiden FAM berkata, insiden itu memalukan kerana nama baik negara tercemar di pentas antarabangsa dan menampakkan kelemahan pentadbiran FAM.

“Rakyat Malaysia khususnya peminat bola sepak tempatan amat kecewa dengan insiden memalukan ini dan mereka berhak marah kerana nama baik negara telah dipalit dengan aib di pentas antarabangsa.

“Insiden sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini, menampakkan FAM kelihatan hilang kawalan, lemah dalam pentadbiran, dan gagal memastikan setiap proses didokumenkan secara telus dan sah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, skandal itu bukan sekadar isu teknikal, tetapi seolah-olah pengkhianatan terhadap integriti sukan negara apabila timbul persoalan bagaimana dokumen palsu itu boleh diproses, sama ada melalui kecuaian atau unsur penipuan yang disengajakan.

“Justeru kepimpinan FAM hari ini mesti bertanggungjawab sepenuhnya, tidak memadai dengan hanya merayu keputusan FIFA semata-mata,” gesanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

PN turut jelasnya menuntut siasatan bebas dan telus dijalankan segera, bukan sahaja melibatkan pihak dalam FAM tetapi juga pihak berkuasa berkaitan, dengan tindakan sewajarnya perlu dikenakan terhadap individu yang terbukti bersalah tanpa sebarang kompromi.

“Kerajaan juga melalui Kementerian Belia dan Sukan tidak boleh berdiam diri. Menteri Belia dan Sukan perlu segera tampil memberi penjelasan apakah langkah yang akan diambil untuk memulihkan integriti bola sepak negara.

“Jika kita benar-benar mahu melihat bola sepak Malaysia kembali dihormati, jalan pintas dengan menipu dokumen bukan jawapannya. Hanya disiplin, ketelusan, dan integriti yang akan mengangkat kembali maruah bola sepak negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -