
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) perlu terus mara dengan memperkukuh perjuangan dan strategi tanpa membuang masa melayan tohmahan musuh atau putar belit pihak lawan.
“Isu calon Perdana Menteri hanya relevan sekiranya PN mencapai kemenangan besar dan layak menerajui Kerajaan Persekutuan. Tidak perlu kita bersengkang mata atau memerah idea hanya untuk memenuhi agenda pihak lawan yang mahu melihat PN bertelagah,” tegurnya.
Beliau berkata, dengan kemenangan 73 kerusi Parlimen dan penguasaan di empat negeri, perjalanan PN masih panjang kerana walaupun bayangan Putrajaya sudah kelihatan, ia masih belum jelas.
“Seperti kata pepatah, ‘Ternak dahulu kambing, kemudian barulah berbincang tentang pembahagian untung’,” terang beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Terangnya lagi, kini PAS, BERSATU, GERAKAN dan MIPP perlu terus bekerja sebagai satu pasukan tanpa menoleh ke belakang atau berbangga dengan pencapaian lalu.
Kerana menurut bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) itu, musuh sudah tentu sedang merancang strategi dengan segala kelebihan sebagai Kerajaan Pusat.
“Segala dana serta kemudahan akan digunakan (oleh mereka) sebaik mungkin untuk mempertahankan kuasa. Ketepikan perkara yang tidak menguntungkan perjuangan.
“Jika benar kita mahukan kejayaan, mari kita perkukuh muafakat dalam menghadapi PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah sebagai ujian pertama sebelum meneruskan bahtera menuju Putrajaya,” ujarnya.
Kata beliau lagi, berakhirnya Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-71 di Alor Setar pada Selasa lalu telah merumuskan satu gagasan penting bagi mengukuhkan perjuangan PAS dan PN.
Beliau menegaskan, muktamar kali ini memberi tumpuan khusus kepada usaha PAS meyakinkan rakyat, khususnya masyarakat bukan Islam, bahawa mereka tidak perlu berasa takut atau bimbang terhadap PAS dan PN sekiranya diberi mandat dalam PRU16.
“Sudah menjadi lumrah, akan ada usik-mengusik dalam perbahasan perwakilan. Kadangkala teguran diberikan secara tegas, dan kebanyakannya dengan cara yang halus dan lembut.
“Semua itu adalah tanda kasih sayang dalam jemaah dan perjuangan. Teguran yang benar wajar dijadikan pedoman, manakala teguran yang kurang tepat pula dijadikan peringatan.
“Mari kita ‘Kembali Kepada Penyelesaian Islam’ demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2025











