
MUKTAMAR Tahunan PAS kali ke-71 telah melabuhkan tirai pada jam 4.20 petang hari Selasa, 16 September 2025 setelah Tan Sri Dato’ Seri Presiden PAS menyampaikan ucapan penggulungan dengan penuh semangat selama hampir dua jam setengah.
Ucapan Dasar Presiden PAS kali ini dengan jelas berjaya menyuntik roh dan semangat baharu kepada seluruh perwakilan untuk terus bekerja, berjuang dan bersedia memimpin negara selepas PRU16 yang dijangka berlangsung tahun hadapan.
Dengan penuh keyakinan, PAS mengetengahkan keadilan Islam sebagai jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah yang kini menghimpit rakyat hasil kegagalan kerajaan Madani pimpinan PH yang didominasi oleh DAP.
Ucapan Dasar juga dengan penuh yakin mengajak seluruh perwakilan dan ahli parti yang mencecah 1.3 juta orang untuk mengatur langkah berhemah, memperkasa organisasi, memantapkan ilmu dan disiplin, memperkukuh jati diri dan taqwa, mengukuhkan ukhuwwah serta wahdah al-fikri wa al-‘amal bagi memimpin Perikatan Nasional, sekali gus bersedia sebagai Government in Waiting.
Ucapan Dasar dan muktamar secara keseluruhan menampilkan politik jujur dan amanah, bukan politik rakus yang ghairah menamakan calon Perdana Menteri.
PAS menegaskan bahawa keutamaan ialah berkerja keras untuk memenangi PRU terlebih dahulu, setelah itu akan dipilih Perdana Menteri dari kalangan tokoh yang berilmu, bijak, bertaqwa, amanah, bersih daripada masalah integriti dan moral serta memiliki kekuatan jasmani yang munasabah.
Ucapan Dasar turut mengajak seluruh perwakilan dan masyarakat supaya terus memperjuangkan politik matang dan sejahtera dengan kembali kepada penyelesaian Islam yang berteraskan keadilan intuk semua merangkumi Muslim dan bukan Muslim.
Ia menekankan kepentingan mengembalikan kedaulatan undang-undang tanpa pilih kasih serta menjamin hak-hak rakyat.
Dinamika PAS sepanjang zaman turut terserlah melalui Ucapan Dasar Presiden dengan penegasan agar berpegang teguh kepada dasar Islam yang disepakati, sambil berlapang dada dalam perkara cabang (furu’ atau khilafiyyah).
PAS menegaskan keperluan menjadi pengikut yang bijak, tidak terjebak dengan perbezaan mazhab sebagai punca perpecahan dan permusuhan.
Dinamika ini semakin jelas apabila muktamar mengekalkan kombinasi kepimpinan tertinggi parti yang terdiri daripada agamawan, profesional, aktivis, pensyarah, pakar kewangan, doktor serta pemegang PhD – semuanya diletakkan di bawah bimbingan kepimpinan dan keberkatan ulama agar segala tindakan tidak menyimpang daripada dasar dan maqasid syariyyah yang menjadi asas utama penyelesaian Islam.
Kesimpulannya, Muktamar PAS kali ini benar-benar menampakkan kesediaan PAS untuk memimpin Negara Sejahtera dengan dasar dan prinsip Islam yang kukuh demi membina sebuah baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.
Ia juga menjadi titik tolak untuk mengeluarkan negara daripada corak pemerintahan yang menekan rakyat dengan pelbagai sistem cukai dan akta yang tidak membela mereka.
“Kembali kepada Penyelesaian Islam”
“Ulama Rabbani Pemangkin Penyatuan”

PROF. MADYA DR. WAN MAT SULAIMAN
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu
18 September 2025 Miladi
bersamaan 25 Rabiulawal 1447 Hijri – HARAKAHDAILY 18/9/2025











