
TENGAH hari Sabtu, 13 September 2025, waktu rehat Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat di Maahad Darul Hadis, Alor Setar, Almarhum Ustaz Dr Mohd Hamdan Mohamed melintas di tepi saya usai solat Zohor dan Asar secara jamak taqdim.
Terlintas di hati, nak selfie dengan Pengerusi Tetap Muktamar Dewan Ulamak ini. Tak sempat. Beliau berlalu dengan senyum sahaja dan saya pun begitu.
Saya kenal Almarhum Dr Hamdan, pertama kalinya di tahun 1980-an, melalui bukunya ‘Siapakah Taghut?’ Kulit buku itu berwarna hitam dan tulisannya merah kalau tak silap. Ketika itu istilah ‘taghut’ selalu disebut dalam ceramah.
Masa berlalu, apabila saya dilantik dalam jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Terengganu, Dr Hamdan juga ada di situ. Beliau jauh lebih senior daripada saya. Namun, beliau bergaul baik dengan semua.
Beliau banyak menulis buku. Pada setiap kali Muktamar PAS, sama ada di peringkat negeri hingga ke pusat, beliau lancar beberapa buah buku baharu. Rajinnya beliau menulis buku.
Suara Almarhum sebagai Pengerusi Tetap Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat tidak didengari pada hari Sabtu lepas.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahya, memberitahu kepada para perwakilan ulama bahawa muktamar kali ini dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Tetap kerana Dr Hamdan ada sedikit keuzuran, dan mendoakan kesejahteraannya.

Tidak sangka bahawa beliau hadir di Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat sahaja, melancarkan buku baharunya ‘Cabaran Umat Islam Akhir Zaman’ oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin tetapi tidak mempengerusikan Muktamar Tahunan Dewan itu. (Foto atas)
Dan itulah kali terakhir kehadirannya di Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat, juga kali terakhir beliau lancarkan bukunya yang baharu. Beliau meninggal dunia pada jam 10.58 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Semoga penulisannya menjadi amal jariahnya yang berterusan, begitu juga segala gerakerjanya, terutama dalam Dewan Ulamak PAS hingga ke hujung hayatnya.
Menulis buku penuh matang,
Bantu Dewan Ulamak banyak sekali,
Daripada Allah kita datang,
Kepada Allah kita kembali.
USTAZ NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu
Khamis, 18 Sept 2025. – HARAKAHDAILY 18/9/2025











