Subsidi beras putih tempatan langkah sementara

Bukan penyelesaian konkrit

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Situasi beras putih tempatan (BPT) kembali hilang di pasaran selepas tamatnya program subsidi pada 31 Ogos lalu menjadi petunjuk jelas bahawa skim tersebut hanya penyelesaian sementara.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, ia bukan langkah jangka panjang untuk mengatasi isu bekalan serta harga beras dalam negara.

Menurutnya, meskipun subsidi RM150 juta yang diperkenalkan kerajaan pada Februari lalu berjaya menstabilkan harga runcit BPT pada RM2.60 sekilogram selama enam bulan, ia tidak memberi kesan menyeluruh kepada rantaian pengeluaran padi dan beras.

“Program ini menyasarkan pengeluaran 24 juta kampit beras di mana kerajaan membayar RM6.25 bagi setiap kampit beras yang memberi manfaat langsung kepada pengilang, pembungkus dan pengedar BPT.

“Petani dan pesawah tak dapat apa-apa manfaat dari program subsidi ini. Pengguna pula mendapat manfaat apabila BPT mula boleh didapati di pasaran bermula Mac 2025.

“Apabila program ini berakhir pada 31 Ogos 2025, pembekal dan pengedar berada dalam keadaan dilema dan ketidakpastian semula,” katanya dalam satu hantaran di laman _Facebook_ miliknya, semalam.

Katanya, tanpa subsidi kerajaan, mereka tidak akan mampu nak bekalkan BPT pada harga runcit RM2.60 sekilogram sebagaimana dalam tempoh 6 bulan lepas

Menurut beliau, kesan daripada itu penghantaran beras mulai terhenti dan BPT sekali lagi menghilang dari pasaran walaupun permintaan kekal tinggi.

“BPT mula menghilang semula dari pasaran, bukannya beras tempatan tak laku. Inilah situasi yang sedang berlaku. Indikator jelas bahawa program subsidi BPT hanyalah langkah sementara dan bukannya penyelesaian konkrit,” ujarnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran ketika ini bukan disebabkan makanan ruji itu tidak laku, sebaliknya berpunca daripada status penamatan subsidi yang tidak jelas.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, keadaan itu menyebabkan kebanyakan pembekal tidak lagi menghantar bekalan kerana masih menunggu perkembangan selanjutnya daripada pihak berkaitan. – HARAKAHDAILY 10/9/2025

- Advertisement -