Tugasan kerja jadi ibadah jika ikhlas kerana Allah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Setiap tugasan di tempat kerja boleh menjadi ibadah sekiranya dilakukan dengan penuh keikhlasan kerana Allah, kata Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti menegaskan bahawa prinsip tersebut perlu diterapkan dalam budaya kerja di semua peringkat.

“Setiap tugasan di tempat kerja adalah ibadah jika diniatkan ikhlas kerana Allah,” katanya sewaktu berucap di Majlis Anugerah Penarafan Bintang dan Perkhidmatan Cemerlang PKINK 2024.

Beliau menjelaskan nilai tersebut berteraskan Ubudiyyah (pengabdian), Mas’uliyyah (tanggungjawab) dan Itqan (ketekunan) yang menjadi pemacu utama kejayaan dasar “Membangun Bersama Islam” (MBI) melalui budaya kerja berkualiti dan penuh amanah.

Katanya lagi, pengiktirafan yang diberikan bukan hanya merakamkan kecemerlangan prestasi kerja, tetapi mencerminkan kesan positif menyeluruh dari syarikat hingga kepada pembangunan negeri serta manfaat langsung kepada rakyat.

Beliau berharap penghargaan tersebut menjadi pemangkin semangat untuk meneruskan kecemerlangan dan membawa organisasi ke tahap lebih tinggi serta memastikan manfaatnya kembali dinikmati oleh rakyat negeri Kelantan.

Pada majlis itu, Syarikat Ladang Sungai Terah Sdn Bhd meraih penarafan lima bintang, manakala empat lagi syarikat anak Perbadanan Kemajuan Islam Negeri Kelantan (PKINK) menerima penarafan empat bintang.

Sebanyak 24 kakitangan turut menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 sebagai pengiktirafan atas dedikasi mereka. – HARAKAHDAILY 10/9/2025

- Advertisement -