
KUALA LUMPUR: Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali menyifatkan penutupan kes skandal lombong begitu hangat diperkatakan sebelum ini sebagai satu lagi episod yang disapu ke bawah karpet.
Beliau berkata, meskipun pelbagai maklumat mengenai isu itu dibangkitkan sejak berbulan-bulan lalu, kes berkenaan akhirnya ditutup dengan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).
“Kes tutup. NFA, _no further action._ Berbulan-bulan pelbagai maklumat skandal lombong. Hari ini tutup. Kata orang yang hendak ditangkap dulu. Maka selesai sudah satu episod. Sapu bawah karpet,” ujarnya dalam media sosial miliknya, semalam.
Menurut beliau yang juga Ketua Penerangan PEJUANG, kuasa sering mengkhayalkan sesiapa memilikinya, namun apabila ia hilang, kesannya amat dirasai.
Pada masa sama, Muhammad Rafique mengingatkan bahawa rakyat sedang memerhati setiap perkembangan politik dan undang-undang yang berlaku di negara ini.
“Rakyat melihat, menunggu masa. Jangan rakyat pula yang mabuk dan buta,” peringat beliau dipercayai merujuk reaksi rakyat terhadap isu-isu semasa negara mutakhir ini.
Terdahulu media tempatan melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador berhubung penerokaan mineral di Sabah telah selesai dan ditutup.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya mendapati tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak.
Beliau menjelaskan semua pihak berkaitan sudah dipanggil memberi keterangan dan siasatan mendapati tiada isu tadbir urus berlaku. – HARAKAHDAILY 10/9/2025











