
KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis Israel ke atas Qatar yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta kedaulatan sebuah negara berdaulat.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku juga Ahli Parlimen Marang membidas tindakan tersebut dengan menyifatkannya adalah jenayah perang yang mesti ditentang oleh masyarakat antarabangsa.
“PAS menegaskan solidariti penuh bersama perjuangan rakyat Palestin dan gerakan Hamas yang terus mempertahankan tanah air mereka daripada genosida Zionis. Kezaliman Israel tidak akan memadamkan api perjuangan membebaskan bumi Palestin.
“PAS menyeru dunia Islam, negara-negara OIC dan masyarakat antarabangsa bersatu menekan Israel agar menghentikan serangan, serta mengajak umat Islam di Malaysia memperkukuh doa dan sokongan kepada perjuangan Palestin,” ujarnya.
Media antarabangsa melaporkan, beberapa letupan kuat menggegarkan ibu negara Qatar, tidak lama selepas Israel mendedahkan kepada The Associated Press bahawa pihaknya menyasarkan pemimpin HAMAS di Doha.
Sasaran serangan udara tengah bandar raya berpopulasi sekitar 2 juta orang itu menampakkan kepulan asap hitam yang jelas disusuli kenyataan rasmi tentera Israel mengesahkan bahawa ia adalah tindakan mereka.
Al-Jazeera yang memetik sumber HAMAS melaporkan, serangan itu menyasarkan pasukan perunding HAMAS yang bertemu untuk membincangkan tentang tawaran gencatan senjata terbaharu oleh Amerika Syarikat.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Dr Majed Al Ansari mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengecut itu menegaskan, Qatar tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang mencabul keselamatan dan kedaulatannya.
Tindakan Israel menyasarkan kediaman yang menempatkan pemimpin-pemimpin Biro Politik HAMAS di ibu negara Qatar, Doha, disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
Qatar selama bertahun-tahun telah bertindak sebagai pengantara rundingan antara HAMAS dan Israel, manakala para pemimpin HAMAS yang hidup dalam buangan telah lama menjadikan Qatar sebagai pangkalan mereka.
“Kekuatan keselamatan, pertahanan awam dan pihak berkuasa berkaitan sudah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi menangani kesan serangan ini serta menjamin keselamatan kawasan dan penduduk sekitar,” katanya dalam platform X, di sini pada Selasa.
Qatar juga memberi amaran tindakan melulu Israel itu bukan sahaja menggugat kestabilan serantau, malah berpotensi menjejaskan rundingan damai yang telah sedia terganggu sejak beberapa minggu lalu.
Menteri Kewangan Israel yang juga tokoh kanan sayap kanan, Bezalel Smotrich dilaporkan telah memuji serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘keputusan tepat’ ketika rundingan kedua pihak sedang diusahakan.
Insiden berprofil tinggi ini turut menimbulkan persoalan besar terhadap keselamatan diplomatik di Doha serta masa depan peranan Qatar sebagai perantara utama dalam konflik berkenaan. – HARAKAHDAILY 10/9/2025











