
KOTA BHARU: Seramai 23 usahawan kecil menerima sumbangan modal perniagaan berjumlah RM16,000 melalui program anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.
Setiap penerima menerima antara RM500 hingga RM1,000 mengikut keperluan perniagaan di mana ia merupakan komitmen kerajaan negeri bagi melahirkan lebih ramai usahawan berjaya melalui Skim Bina Usahawan di bawah agenda Kelantanku Cakna.
Penyelia DUN Kota Lama, Ir Nor Shakiman Mohamad berkata, bantuan ini merupakan sokongan kerajaan negeri untuk membina keyakinan dan semangat rakyat agar bersungguh-sungguh mengusahakan perniagaan.
“Bantuan ini adalah amanah. Ia bukan sekadar untuk kegunaan sementara, sebaliknya menjadi modal permulaan supaya mereka dapat maju hingga berjaya. Jangan disia-siakan peluang ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan tersebut.
Beliau turut menegaskan cabaran adalah sebahagian daripada perjalanan hidup seorang usahawan.
“Setiap orang akan berdepan masalah, sama ada kecil atau besar, hatta golongan bilionair sekalipun. Tetapi ujian inilah yang akan mengangkat mereka menuju kejayaan,” ujarnya.
Katanya lagi, DUN Kota Lama turut merancang program kedua dengan memberi bantuan berbentuk barangan selepas ini bagi memastikan sokongan berterusan dapat dinikmati usahawan.
Beliau menambah pendapatan melalui perniagaan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat khususnya apabila para usahawan berjaya menjadi pembayar zakat setelah sebelumnya mungkin bergelar penerima zakat.
“Jika sebelum ini mereka penerima zakat, insya-Allah melalui usaha gigih ini mereka pula akan menjadi pembayar zakat. Hasilnya, masyarakat setempat dapat merasai keberkatan daripada kejayaan usahawan kita,” jelasnya.
Menurutnya hampir 20 jenis sektor perniagaan diperkenalkan melalui program ini, manakala Kelab Usahawan Haraki diwujudkan bagi memudahkan usahawan mendapat bimbingan serta memasarkan produk ke pasaran lebih luas termasuk Singapura dan negeri-negeri lain.
“Kerajaan negeri melalui Kelab Usahawan Haraki akan membantu usahawan dalam aspek pemasaran, termasuk memberi nasihat berkaitan pembungkusan dan strategi promosi,” ujarnya lagi.
Beliau turut mengingatkan usaha mendekati rakyat bukan hanya ketika musim pilihan raya, sebaliknya menjadi keutamaan pimpinan negeri setiap masa termasuk ketika menghadapi kesukaran akibat hujan lebat atau ribut. – HARAKAHDAILY 10/9/2025











