Masalah air sawah padi: ‘Untung tak dak, modal habis’

- Advertisement -

IPOH: Kepayahan pesawah padi di negeri ini yang berdepan kerugian akibat masalah cuaca ekstrem dibangkitkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Darul Ridzuan, di sini semalam.

- Advertisement -

​Sallehuddin Abdullah (PN-Selinsing) berkata, para pesawah di tempatnya berdepan kerugian dua musim berturut-turut disebabkan oleh masalah yang berbeza.

​“Saya nak mohon kepada pihak kerajaan, kawasan padi tempat saya ini, masa musim lepas kena tanah jerlus, habis tak dapat ambil. Kali ini, ayaq (air) pula tak dak, untung tak dak, modai habis.

​“Soalan tambahan saya, apakah peranan teknologi pertanian pintar (smart farming), sistem amaran awal bencana dan juga pembiakan baka tahan cuaca dalam adaptasi negeri Perak?

“(Terutama) terhadap perubahan iklim bagi menjamin pengeluaran makanan yang berterusan,” katanya mengemukakan soalan tambahan pada sesi Soalan-soalan Lisan di persidangan itu, semalam.

​Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Negeri, Dato’ Mohd Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri memandang serius isu yang dibangkitkan dan akan mengambil tindakan lanjut.

​“Insya-Allah, masalah padi akan dibincangkan dan juga dibawa ke peringkat pusat,” katanya ketika menjawab soalan tersebut.

​Mohd Zolkafly turut menambah bahawa kerajaan negeri sememangnya sedang bergerak ke arah pertanian moden bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti sektor agromakanan.

​“Kita sedang menggalakkan penggunaan pertanian pintar, bagi membolehkan petani menjimatkan penggunaan air dan baja, dan juga meningkatkan produktiviti,” jelasnya.

​Pada soalan asal, Sallehuddin meminta penjelasan mengenai langkah jangka sederhana dan panjang yang sedang dirangka oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan kelangsungan sekuriti makanan negeri Perak.

Khususnya soal beliau, dalam sektor tanaman dan ternakan, bagi menghadapi pelbagai risiko perubahan geopolitik dunia pada masa ini dan akan datang. – HARAKAHDAILY 10/9/2025

- Advertisement -