Teganya seorang anak mencungkil mata ibu sendiri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyifatkan kejadian seorang anak menyerang dan mencungkil mata ibunya di Butterworth sebagai perbuatan amat menyedihkan dan tergolong sebagai dosa besar.

Beliau menegaskan, dalam Islam hubungan anak dan ibu bapa sangat dimuliakan, bahkan Allah SWT memerintahkan manusia supaya menyembah hanya kepada-Nya dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.

“Firman Allah SWT (yang bermaksud) ‘Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia, dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa…’,” ujarnya memetik surah Al-Isra’ ayat 23 dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan anak menyerang ibunya bukan sahaja satu jenayah undang-undang, malah ia juga dosa besar dan melanggar fitrah seorang anak terhadap ibu yang melahirkannya.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Negara berkata, kes itu turut mendedahkan masalah sosial yang semakin membimbangkan masyarakat hari ini.

“Pengaruh dadah jelas merosakkan akal dan emosi hingga mendorong keganasan. Kurangnya pengawasan serta rawatan berterusan terhadap penagih selepas keluar daripada pemantauan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) juga meningkatkan risiko jenayah berulang,” terangnya.

Ustazah Nuridah turut menegaskan, kejadian itu memperlihatkan bahawa golongan warga emas sangat terdedah kepada bahaya dan amat memerlukan perlindungan masyarakat.

Menurutnya, anak-anak wajib menjaga serta memuliakan ibu bapa manakala penagih pula perlu dibimbing dengan rawatan dan pengisian rohani.

“Masyarakat harus peka serta membantu keluarga yang berdepan masalah sosial,” katanya terhadap kejadian seorang wanita warga emas berusia 72 tahun cedera selepas anaknya yang berusia 47 tahun cuba mengorek matanya dengan objek tajam di rumah mereka di Mak Mandin, Butterworth.

Mangsa menurut laporan tersebut, sempat diselamatkan jiran sebelum dibawa ke hospital dan menerima jahitan di bahagian muka, manakala suspek ditahan polis selepas didapati positif dadah.

Lelaki itu yang baru dibebaskan daripada pengawasan AADK pada 2 September lalu kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – HARAKAHDAILY 9/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -