Apa jaminan miskin bandar di Selangor tak akan dizalimi?

Isu subsidi bersasar RON95

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak Kerajaan Madani mengkaji semula pelaksanaan subsidi bersasar RON95 yang disifatkan masih belum bersedia serta dibimbangi menambah beban rakyat, khususnya golongan miskin bandar di negeri ini.

Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, sehingga kini kerajaan masih gagal menjelaskan siapakah dalam kalangan M40 yang akan menerima manfaat subsidi berkenaan dan siapakah pula yang akan dinafikan hak mereka.

“Apakah pertimbangan yang digunakan untuk menyaring golongan M40 ini? Bagaimana kerajaan mengimbangi pendapatan mereka dengan kos sara hidup yang maha dahsyat yang terpaksa mereka hadapi di kawasan bandar?” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, berdasarkan statistik Lembaga Zakat Selangor pada 2024, seramai 42,700 atau 61 peratus golongan asnaf dan fakir miskin di negeri ini dikategorikan sebagai miskin bandar, terutama di daerah Petaling, Klang, Gombak serta Hulu Langat.

Jelasnya, kegagalan kerajaan memberikan perincian berhubung M40 amat membimbangkan kerana sebahagian besar kelompok itu berada di Selangor, namun sering dipandang sebelah mata oleh pihak bertanggungjawab.

Muhammad Faizzuddin turut menyuarakan kebimbangan terhadap risiko kegagalan sistem teknologi maklumat (IT) ketika rakyat membuat pembelian, sebagaimana berlaku dalam pelaksanaan program SARA RM100.

“Ramai keluarga terpaksa meninggalkan barangan kerana MyKad mereka gagal disahkan. Apakah perkara sama akan berlaku kepada rakyat daripada kalangan B40, M40.

“(Ia) mahupun T20/T15 ketika pembelian RON95, yang mana pastinya akan berlaku kadar pembelian yang lebih tinggi dan lebih kerap daripada SARA RM100?” soalnya.

Beliau berkata, kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia yang rendah juga menambah kebimbangan, apabila rakyat terpaksa bergantung kepada kenderaan sendiri khususnya dalam kalangan M40.

“Malaysia hanya mencatatkan kadar penggunaan pengangkutan awam 25 peratus, berbanding Singapura (67 peratus), Tokyo (73 peratus) dan Seoul (63 peratus).

“(Ia) jauh daripada sasaran 40 peratus dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019–2030,” terangnya memetik maklumat didedahkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 13 Mei lalu.

Sehubungan itu, beliau turut mempersoalkan nasib rakyat di pinggir bandar yang tidak mempunyai akses pengangkutan awam lengkap, sedangkan mereka turut terbeban dengan kenaikan kos RON95.

“Sehingga hari ini juga, kita masih tidak dapat dengar penjelasan yang tuntas daripada pihak Kerajaan Madani mengenai mekanisme mereka untuk mengawal kesan peningkatan kos dalam rantaian ekonomi yang akan turut memberi kesan kepada rakyat B40,” soalnya lagi.

Justeru, beliau mendesak Kerajaan Madani lebih berdedikasi dan tidak tergesa-gesa melaksanakan polisi yang hanya menguntungkan kerajaan, tetapi menekan rakyat.

“Kaji semula kaedah pelaksanaan subsidi bersasar RON95 ini dengan lebih kreatif dan inovatif serta bantu rakyat hadapi saat-saat sukar dalam kehidupan mereka, bukan menambah beban hidup rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -