
IPOH: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria menyifatkan penggantungannya daripada menghadiri Sidang Dewan Negeri selama enam bulan sebagai satu tindakan terbelakang serta bertujuan menyekat hak bersuara dalam amalan demokrasi.
Beliau menegaskan bahawa keputusan yang dibuat pada 16 April 2025 itu adalah tidak wajar, tidak seimbang dengan kesalahan didakwa, dan secara terang-terangan bercanggah dengan prinsip demokrasi yang sepatutnya dijunjung tinggi di dalam Dewan.
Ujarnya, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, tindakan tersebut telah menyekat fungsinya sebagai ejen semak dan imbang, terutamanya ketika Dewan Negeri bakal membahaskan isu kritikal melibatkan kepentingan umat Islam.
“Penggantungan saya sebagai Ahli Dewan Negeri yang sah telah menyekat saya untuk bersuara di Dewan Negeri sebagai fungsi semak dan imbang yang menjadi asas kepada sistem demokrasi.
“Ini menjadi lebih kritikal apabila Dewan Negeri bakal membahaskan Rang Undang-Undang Kawalan Sekolah Agama Islam Perak 2025, suatu rang undang-undang penting yang menyentuh kepentingan umat Islam di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Razman turut menggariskan beberapa isu penting berkaitan pendidikan Islam di Perak yang menurutnya perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan.
Beliau menekankan bahawa perkembangan institusi pendidikan Islam terganggu oleh kerenah birokrasi yang menyukarkan pendaftaran sekolah-sekolah agama rakyat, sedangkan institusi lain seperti MARA giat memperkasa kurikulum Islam.
“Kerenah birokrasi yang akhirnya menjadikan sekolah agama susah didaftarkan atas sebab tertentu juga tempoh masa yang lama menjadi satu polemik yang sedikit sebanyak mengganggu perkembangan sekolah agama,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri seharusnya memperkasa pendidikan Islam secara menyeluruh dengan menambah bilangan kelas dan sekolah agama bagi menangani masalah sosial membimbangkan kini, yang mungkin berpunca daripada kurangnya kefahaman Islam.
“Roh undang-undang adalah untuk memperkasakan kefahaman akidah yang tulen kepada umat Islam dengan memastikan rakyat dapat manfaat melalui pendidikan Islam secara menyeluruh demi melahirkan individu kamil,” tambahnya.
Razman merayu agar Speaker Dewan Negeri dan seluruh ahli dewan menimbang semula keputusan penggantungan tersebut dan memendekkan tempohnya, selaras dengan usul yang telah dibawa oleh ADUN Sungai Manik, Dato Zainol Fadzi Paharudin.
“Demokrasi hanya bermakna apabila semua suara, termasuk suara pembangkang, diberikan ruang. Penggantungan tanpa timbang rasa hanya akan melemahkan institusi Dewan Negeri dan mencacatkan proses semak imbang yang menjadi asas kepada tadbir urus negeri yang baik,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 9/9/2025











