
KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan mantan Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli mencapai persetujuan menyelesaikan isu saman sivil yang difailkan sebelum ini secara baik di luar mahkamah.
Pada 17 November 2022, Tuan Ibrahim telah memfailkan saman sivil terhadap Rafizi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung beberapa kenyataan media dibuat Rafizi semasa tempoh kerajaan ‘caretaker’ selepas pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15.
Antara perkara dibangkitkan Rafizi ketika itu adalah dakwaan berhubung usaha penganugerahan projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion kepada Mangkubumi Sdn Bhd oleh KASA ketika ia diterajui Tuan Ibrahim.
Menurut kenyataan bersama itu, persoalan-persoalan dibangkitkan Rafizi dibuat dalam kenyataan terdahulu itu adalah berdasarkan maklumat dan dokumen yang diperoleh daripada sumber dipercayai.
Bagaimanapun jelas kenyataan itu, bagi mengelakkan salah faham terhadap Tuan Ibrahim serta salah tafsiran orang awam, Rafizi bersetuju untuk menurunkan semua hantaran di media sosial di bawah kawalannya berkaitan isu berkenaan.
“Memandangkan isu berkenaan keterlibatan Tuan Ibrahim dalam usaha penganugerahan satu projek tebatan banjir Sungai Langat 2 yang bernilai RM2 billion kepada Mangkubumi Sdn Bhd bukanlah sebenarnya tumpuan kenyataan-kenyataan media Rafizi terdahulu, semasa Kerajaan ‘Caretaker’ oleh KASA.
“Maka keterlibatan Tuan Ibrahim dalam usaha penganugerahan satu projek tebatan banjir Sungai Langat 2 yang bernilai RM2 billion kepada Mangkubumi Sdn Bhd tidak lagi berbangkit di antara pihak-pihak. Tuan Ibrahim bersetuju untuk menarik balik Saman Sivil tersebut,” menurut kenyataan bersama itu.
Kedua-dua pihak turut menegaskan bahawa perselisihan atau salah faham yang berlaku wajar diketepikan demi kepentingan awam, keharmonian masyarakat serta kestabilan politik negara.
“Oleh yang demikian, pihak-pihak dengan ini ingin memaklumkan bahawa perkara tersebut telah diselesaikan secara baik di luar Mahkamah,” kata mereka. – HARAKAHDAILY 9/9/2025











