
KUALA LUMPUR: Pengenalan Akta Insolvensi Rentas Sempadan penting dalam memastikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai destinasi mesra pelaburan.
Senator Ustaz Musoddak Ahmad berkata, akta itu diperkenalkan bagi menyelaras pertikaian yang berbangkit berkenaan isu insolvensi selain memberi perlindungan kepada penghutang tempatan.
“Kepercayaan ini lahir daripada kerangka perundangan serta polisi awam yang jelas serta teratur dan saya percaya akta ini mampu memberikan nilai tambah kepada Malaysia,” ujarnya.
Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada perbahasan Rang Undang-undang Insolvensi Rentas Sempadan 2025 di Dewan Negara, Parlimen, di sini hari ini.
Musoddak turut merujuk beberapa penulisan akademik berkaitan isu insolvensi rentas sempadan di negara Eropah yang menunjukkan isu harmonisasi kerangka perundangan tempatan masih menjadi perdebatan.
Menurutnya, perbezaan undang-undang substantif di peringkat domestik menjadi cabaran utama dalam melaksanakan kerangka itu.
“Kerangka perundangan ini mesti bersifat kesalingan dan kefahaman yang standard di antara dua negara.
“Tentunya ia akan menjadi cabaran yang seharusnya ditangani oleh Malaysia sendiri setelah akta ini diperkenalkan kelak kerana realitinya setiap perniagaan mempunyai model pembiayaan yang berbeza.
“(Ia) bahkan setiap negara juga mempunyai polisi perlindungan yang tertentu kepada syarikat komersial tempatan,” jelasnya.
Menurutnya, era globalisasi menyaksikan banyak syarikat komersial beroperasi merentasi sempadan negara, sekali gus menjadikan akta berkenaan amat relevan pada masa kini.
“Negara-negara serantau seperti Filipina, Singapura dan Myanmar telah merintis langkah yang sama lebih awal daripada Malaysia.
“Namun ia masih belum terlambat untuk negara mempertengahkan suatu akta yang penting bagi membina suasana perniagaan dan pelaburan yang kondusif,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2025











