
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 disifatkan sebagai langkah reformasi undang-undang baik, namun kerajaan diminta memberikan penjelasan menyeluruh terhadap beberapa isu besar yang timbul sebelum ia dilaksanakan.
Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, secara dasarnya RUU tersebut mampu membawa Malaysia seiring dengan piawaian antarabangsa melalui Model Law on Cross-Border Insolvency yang digubal UNCITRAL.
Katanya, ia juga dilihat dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing selain memperkukuh daya saing negara dalam menarik syarikat multinasional.
“Langkah ini akan meningkatkan keyakinan pelabur asing, memberi kepastian undang-undang kepada syarikat multinasional yang beroperasi di negara kita dan pada masa yang sama memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
“RUU ini juga membuka ruang untuk kerjasama antara mahkamah tempatan dan mahkamah asing dalam mengurus kes-kes insolvensi yang melibatkan aset dan pemiutang di banyak negara.
“Dengan mekanisme ini, pengurusan hutang menjadi lebih tersusun dan kita dapat mengelakkan pertindihan perintah yang merugikan semua pihak.
“Dari segi kerangka besar, RUU ini adalah reformasi undang-undang yang membawa Malaysia selangkah lebih moden dan lebih telus dalam bidang insolvensi.
“Namun demikian, di sebalik kebaikan yang saya sebutkan tadi, saya tetap mempunyai beberapa keraguan yang wajar dijawab dengan tuntas oleh pihak kerajaan,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, antara isu yang utama ialah kedaulatan undang-undang, khususnya apabila mahkamah tempatan diberi kuasa mengiktiraf prosiding insolvensi luar negara.
“Persoalannya sejauh mana keputusan mahkamah asing boleh mempengaruhi atau membatasi keputusan mahkamah kita sendiri? Apakah jaminan bahawa aset di Malaysia tidak akan diagihkan mengikut keutamaan luar sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan syarikat tempatan?” soalnya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan kedudukan pemiutang tempatan yang sering berada dalam kedudukan lebih lemah, terutama pekerja, vendor kecil dan pembekal berbanding pemiutang antarabangsa.
Katanya, RUU itu masih belum memberi gambaran jelas tentang perlindungan yang sepatutnya diberikan kepada mereka.
“RUU ini, walaupun membuka jalan kepada penyelarasan, masih belum jelas dari segi perlindungan kepentingan pemiutang domestik. Apakah mereka dijamin untuk mendapat keutamaan?
“Atau mereka sekadar terpaksa bersaing dengan pemiutang antarabangsa yang jauh lebih besar dan berkuasa?” katanya.
Wan Martina juga memberi amaran terhadap risiko penyalahgunaan melalui amalan forum shopping, iaitu syarikat memilih untuk memulakan prosiding insolvensi di mahkamah luar negara yang lebih ‘mesra’ kepada mereka bagi mengelakkan tanggungjawab di negara asal.
“Jika perkara ini berlaku, ia boleh melemahkan undang-undang kita dan memberi ruang kepada syarikat besar untuk melarikan diri daripada tanggungjawab kepada rakyat dan pemiutang tempatan,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan dari sudut keupayaan praktikal sama ada mahkamah negara ini mempunyai kepakaran yang cukup untuk mengendalikan kes-kes sebegini.
“Insolvensi rentas sempadan adalah bidang yang sangat teknikal dan melibatkan undang-undang antarabangsa. Jika hakim-hakim dan pentadbir insolvensi kita tidak cukup terlatih, maka pelaksanaan undang-undang ini mungkin tidak mencapai matlamatnya,” katanya.
Menurut beliau lagi, kerajaan juga perlu memastikan penyelarasan jelas antara RUU ini dengan undang-undang sedia ada seperti Akta Insolvensi 1967 dan Akta Syarikat 2016.
Jika tidak katanya, akan wujud pertindihan bidang kuasa serta konflik tafsiran yang boleh menggagalkan niat asal RUU tersebut.
“Secara keseluruhannya saya menyokong semangat RUU ini kerana ia membuka ruang reformasi undang-undang yang besar, sejajar dengan piawaian antarabangsa.
“Namun, saya menegaskan bahawa persoalan tentang kedaulatan undang-undang, kedudukan pemiutang tempatan, risiko penyalahgunaan, persediaan institusi dan keselarasan dengan undang-undang sedia ada mesti dijawab dengan jelas.
“Jika tidak, kita bimbang undang-undang ini hanya akan menguntungkan syarikat besar dan pelabur asing, sementara rakyat dan syarikat tempatan terus terdedah kepada risiko,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2025











