‘Bankrap di sini, kaya di luar dan ada yang sebaliknya’

RUU Insolvensi Rentas Sempadan perlu lindungi aset strategik negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail menegaskan Rang Undang-undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 amat penting bagi memastikan Malaysia berada di persada dunia dalam mengiktiraf usaha pelaburan asing, selain melindungi kepentingan nasional dan rakyat tempatan.

Beliau berkata, meskipun RUU itu membolehkan mahkamah Malaysia mengiktiraf prosiding insolvensi asing serta membenarkan pemindahan aset syarikat ke luar negara, mekanisme kawalan yang ketat amat diperlukan.

“Isu pemindahan aset strategik keluar negara tanpa perlindungan rakyat, RUU ini positifnya membolehkan mahkamah Malaysia mengiktiraf prosiding insolvensi asing dan membenarkan pemindahan aset syarikat ke luar negara.

“(Namun), tanpa mekanisma kawalan yang tegas, aset-aset bernilai strategik yang dimiliki oleh syarikat berpotensi beroperasi di Malaysia boleh dipindah ke luar negara sekali gus menjejaskan kepentingan nasional,” ujarnya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Negara, Parlimen, di sini hari ini.

Hussin turut mengingatkan bahawa tanpa perlindungan menyeluruh, situasi tidak seimbang boleh berlaku apabila syarikat yang diisytiharkan bankrap di Malaysia masih mampu hidup mewah di luar negara.

“Kalau tidak nanti satu benda yang kita selalu tengok, kadang bankrap di sini kaya di luar, bankrap di luar kaya di sini. Sebab mungkin di sini bankrap diburu di sini, tapi billionair di luar. Itu membabitkan perkara yang mungkin dalam RUU ini mampu kita selesaikan,” terangnya.

Jelasnya lagi, risiko tinggi turut dihadapi pemilikan tempatan khususnya pembekal kecil, kontraktor mikro dan usahawan tempatan yang tidak mempunyai cagaran kerana tergolong sebagai ‘unsecure creditors’.

“Mereka mungkin tidak menerima pampasan yang adil berbanding permintaan luar yang lebih bersedia dari segi undang-undang, keupayaan mereka membiayai undang-undang dan lain-lain kos undang-undang,” terangnya.

Menurut beliau, tanpa rundingan atau pampasan wajar, pekerja syarikat terbabit juga berdepan risiko kehilangan pekerjaan secara serta-merta sekiranya aset dan operasi dipindahkan ke luar negara.

“Dengan RUU ini diharapkan akan menjadi asas kuat untuk melindungi kedua-dua pelabur mahupun rakyat tempatan. Jika tidak diperketatkan, mahkamah Malaysia pula mungkin kehilangan kawalan ke atas aset dan pentadbiran kes yang melibatkan pelbagai bidang kuasa antarabangsa,” dedahnya.

Sehubungan itu, Hussin mencadangkan kerajaan mempertimbangkan prinsip ‘ring fencing’ dalam RUU berkenaan bagi memastikan perlindungan khas terhadap aset serta kepentingan dalam negara.

Selain itu menurutnya, kuasa mahkamah dan menteri juga perlu diperkukuhkan dengan beberapa langkah tambahan.

“Misalnya regulasi tambahan berkaitan prosiding insolvensi asing, penetapan nilai ambang pampasan minimum kepada pemilikan tempatan serta garis panduan yang lebih ketat dan telus sebelum membenarkan pemindahan aset ke luar negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2025

- Advertisement -
- Advertisement -