‘Red Flag’ dalam politik Sabah wajar dielak pengundi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin disifatkan sebagai ‘red flag’ dalam politik negeri itu yang perlu dielakkan oleh pengundi, susulan pendedahan beliau dalam Podcast Jam Kesebelas terbitan SuaraTV baru-baru ini.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, hampir separuh daripada sesi tersebut dipenuhi dengan perbincangan mengenai kepentingan diri dan jawatan politik, berbanding tawaran atau agenda untuk rakyat Sabah.

“Beliau sendiri mengakui kecewa kerana janji untuk Portfolio Kerja Raya tidak ditunaikan, sebaliknya diberikan Kerajaan Tempatan. Bung turut membangkitkan soal lantikan GLC negeri dan peruntukan projek kecil yang menurutnya hanya diberikan kepada pihak GRS, bukan Umno,” jelas Nurul Islam.

Tambah beliau, lebih mengecewakan apabila Bung Moktar gagal mengulas isu infrastruktur asas di Sabah seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, sebaliknya hanya menumpukan kepada isu dalaman politik Umno Sabah.

“Apabila ditanya moderator mengenai masalah infrastruktur negeri, jawapan beliau berlarutan tentang politik dan keahlian parti. Sedangkan isu yang menjadi penderitaan rakyat langsung tidak disentuh,” katanya lagi.

Nurul Islam turut membidas tindakan Bung Moktar yang mengkritik pemberian tanah mineral 70,000 ekar kepada individu tertentu tanpa mendedahkan bahawa penerima tersebut adalah bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Beliau lupa bahawa parti PMX sendiri adalah rakan mereka dalam PRN Sabah yang lalu,” ujar beliau sinis.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar pengundi Sabah lebih berhati-hati menilai pemimpin yang hanya menitikberatkan jawatan, lantikan dan projek berbanding kebajikan rakyat.

“Radu tatap radu, radu sampai rata, pilih jangan tak pilih, pilih yang peduli, bukan yang gila kuasa,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 9/9/2025

- Advertisement -