
BENTONG: Mohamad Rafiq Khan Ahmad Khan melahirkan rasa terkejut selepas mendengar maklum balas daripada ahli-ahli Umno ketika sesi ziarah beliau bersama penduduk tempatan, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis itu berkata, ramai ahli akar umbi parti itu sebenarnya telah diberikan gambaran yang salah mengenai situasi politik semasa.
Beliau turut menzahirkan rasa kecewa terhadap kepimpinan tertinggi Umno yang dilihat seolah-olah sengaja membiarkan ahli bawahan terperangkap dengan persepsi songsang, khususnya berkaitan isu ‘persemendaan’ BN-PH.
“Bahaya ni. Saya tak tahu mereka betul-betul tak faham atau buat-buat tak faham. Bila saya sembang dengan mereka, ternyata ramai tak sedar negeri kita sebenarnya sedang berada di ambang bahaya jika kita tak ambil cakna isu politik,” katanya.
Mohamad Rafiq mendedahkan antara perkara yang membimbangkan ialah apabila masih ada ahli Umno yang menafikan wujudnya kerjasama parti itu dengan DAP.
“Ada yang saya jumpa, bila disebut Umno bersama DAP, mereka jawab, “kalau nak bagi hancur, serahkanlah pada DAP”, seolah-olah mereka tak tahu bahawa Umno memang sudah bergabung dengan DAP dalam kerajaan sekarang.
“Mereka mengaku setia bersama Umno sejak dahulu, kini dan selamanya, tetapi dalam masa sama masih mengutuk DAP tanpa menyedari bahawa Umno kini kan dah sebahagian daripada gabungan kerajaan bersama DAP,” ujarnya.
Lebih mengejutkan lagi kata beliau, rungutan daripada ahli Umno sendiri yang merasa terpinggir selepas kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai dua tahun lalu.
“Bila saya jumpa, mereka ambik kesempatan meluah, mereka kata wakil rakyat mereka macam sudah tak nampak lagi kehadiran kami di sini. Kesianlah, mereka ingat semua sudah selesa, tiada masalah, kerajaan stabil.
“Bila saya jelaskan ancaman-ancaman sebenar khususnya daripada DAP yang ahli Umno di bawah amat bimbang, barulah mereka tersentak,” katanya.
Rafiq menegaskan, usaha memberi kefahaman yang benar kepada penduduk khususnya ahli akar umbi Umno tidak boleh dilakukan secara ‘one off’, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan.
“Insya-Allah, kita akan turun lagi secara berkala. Kita akan betulkan salah faham ini, bukan sekali lalu sahaja, tetapi secara berterusan, bertanya khabar dan mendengar luahan mereka,” jelasnya.
Rafiq bersama lima lagi wakil rakyat PAS Pahang turun padang menyantuni penduduk, khususnya ahli Umno, melalui program PN Teraju Pahang (PTP) yang diadakan di DUN Pelangai. – *HARAKAHDAILY 9/9/2025*











