
KANGAR: Konvoi Patriotik DUN Beseri terus menyemarakkan patriotisme dalam kalangan warga sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2025 yang berakhir di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis, pagi kelmarin.
Konvoi anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Beseri itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Padang Besar, Alternative Riding Club (ARC) Perlis serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh DUN Beseri.
Bermula dari Masjid Jamek Beseri, peserta berkonvoi mengelilingi kawasan sebelum menuju ke Kangar.
Peserta konvoi kemudiannya diraikan oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli yang turut mengambil kesempatan memberikan amanat ringkas berkaitan penghayatan kemerdekaan dan pentingnya menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.
“Alhamdulillah, pagi ini saya bersama peserta Konvoi Kemerdekaan DUN Beseri. Peserta konvoi bertolak dari Masjid Jamek Beseri, mengelilingi kawasan DUN Beseri sebelum menuju ke kediaman rasmi saya.
“Konvoi ini disertai oleh ahli PEMADAM, ARC Perlis serta masyarakat setempat yang sama-sama menyemarakkan semangat patriotisme menjelang Hari Kebangsaan.
“Semoga ikatan perpaduan dan semangat cintakan negara terus subur dalam kalangan rakyat kita. Terima kasih buat semua peserta konvoi,” katanya.
Peserta juga diraikan dengan jamuan makan tengah hari yang disediakan di kediaman rasmi Menteri Besar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun, menyifatkan penganjuran konvoi tersebut berjaya mencapai matlamat dalam memupuk semangat cintakan negara.
“Alhamdulillah, selesai sudah Konvoi Patriotik DUN Beseri sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun 2025. Selepas berkonvoi, kami berpeluang mendengar nasihat dan pesanan daripada Menteri Besar Perlis.
“Terima kasih YAB Menteri Besar kerana meraikan kami dengan jamuan tengah hari. Terima kasih juga kepada semua pihak yang hadir dan menjayakan program konvoi ini,” katanya.
Penganjuran konvoi ini bukan sahaja menjadi wadah untuk mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, tetapi juga melibatkan golongan belia, ahli NGO serta penduduk setempat yang mahu menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan.
Dengan sambutan yang menggalakkan, penganjur berhasrat menjadikan program seumpama ini sebagai acara tahunan dalam kalendar DUN Beseri bagi memastikan semangat patriotisme terus dipupuk dan diwarisi oleh generasi muda. – HARAKAHDAILY 9/9/2025












