
IPOH: Satu usul dikemukakan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini bagi memendekkan tempoh penggantungan Ketua Pembangkang, Razman Zakaria, demi menjunjung hak perwakilan dan suara rakyat di kawasannya.
Usul tersebut dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin, kepada Yang Dipertua DUN, Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid, kira-kira sejam sebelum sidang dewan bermula pagi tadi.
Bercakap dalam satu sidang media, Zainol Fadzi berkata, usul tersebut adalah satu urusan awam yang berkepentingan tinggi dan perlu disegerakan.
“Usul ini adalah bagi memohon Tuan Yang Dipertua untuk merundingkan satu urusan awam, iaitu bahawa Dewan yang mulia ini sewajarnya memendekkan tempoh penggantungan YB Gunung Semanggol (Razman) selama enam bulan yang diputuskan pada 16 April 2025 lalu,” ujarnya.
Beliau yang hadir bersama barisan ADUN pembangkang berkata, rayuan itu dibuat dengan mengambil kira bahawa ia merupakan kesalahan pertama Razman.
Katanya, keputusan untuk memendekkan tempoh penggantungan adalah amat penting demi menghormati hak dan kepentingan rakyat di kawasan DUN Gunung Semanggol.
“Penggantungan ini telah menafikan hak YB Gunung Semanggol untuk bersuara sebagai wakil rakyat yang sah di dalam dewan ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar perkara tersebut dibawa semula kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk pertimbangan semula, selaras dengan Peraturan Tetap 76(1) Dewan Negeri Perak.
Terdahulu, Razman yang juga merupakan ADUN Gunung Semanggol, digantung selama enam bulan daripada menghadiri Persidangan DUN berkuat kuasa 16 April lalu, berdasarkan syor yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dewan tersebut. – *HARAKAHDAILY 9/9/2025*











