
KUALA LUMPUR: Senator Ustaz Musoddak Ahmad menegaskan keperluan memperkukuhkan pendidikan literasi kewangan atas talian (online) khususnya dalam kalangan anak muda, susulan peningkatan kes kebankrapan yang banyak melanda golongan itu.
Beliau berkata, majoriti pengguna perkhidmatan kredit atas talian termasuk kemudahan ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL) adalah terdiri daripada golongan muda, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko kewangan.
“Saya kira soalan saya ini berkait dengan RUU (Rang Undang-undang) Kredit Pengguna (KP) yang telah pun kita bahaskan di dewan yang mulia ini. Cuma saya ingin menunjukkan persoalan mengenai pendidikan literasi kewangan atas talian ini khususnya kepada anak muda,” ujarnya
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Kewangan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Musoddak turut meminta penjelasan mengenai pandangan kementerian berhubung isu berkenaan serta tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan bagi membantu anak muda memperkukuhkan pendidikan kredit mereka.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dalam jawapannya memberitahu, kerajaan komited memperkasakan literasi kewangan rakyat, khususnya golongan muda, sebagai kemahiran hidup penting untuk ketahanan kewangan masa depan.
Menurutnya, pada 2024 sahaja, lebih 12.8 juta pengguna berinteraksi dengan kandungan literasi kewangan melalui saluran media sosial.
Tambahnya, antara inisiatif utama termasuk penerapan pendidikan kewangan dari prasekolah hingga Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta program Bulan Literasi Kewangan dengan pelbagai jerayawara dan kempen kesedaran.
Musoddak dalam soalan asal meminta Menteri Kewangan menyatakan usaha mengawal selia perkhidmatan kredit, termasuklah penawaran kredit secara dalam talian bagi membendung hutang isi rumah negara yang semakin membengkak. – HARAKAHDAILY 9/9/2025











