Khidmat Malaysia tinjau kesan gempa bumi di Segamat

- Advertisement -

SEGAMAT: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) telah mengadakan satu tinjauan lapangan di beberapa kawasan terkesan akibat daripada gempa bumi yang melanda daerah ini baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil melakukan tinjauan tersebut bersama Pegawai Khidmat Malaysia, Mohd Ashrul Hisyam Abdul Jalil dan Muizzuddin Hamid ditemani Penyelaras Khidmat Malaysia Segamat, Ustaz Nurakmal Mohd Noh.

Antara lokasi dikunjungi mereka adalah Kampung Gemereh, Kampung Batu Badak dan Kampung Kadut di mana hasil lawatan mendapati beberapa kediaman mengalami kerosakan ringan, terutama melibatkan keretakan struktur dinding.

Untuk rekod, sejak 24 Ogos lalu, Johor telah merekodkan beberapa siri gempa bumi kecil dengan gegaran pertama bermagnitud 4.1 pada skala Richter dikesan di Segamat, diikuti gegaran susulan di Kluang dan Batu Pahat.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pusat gempa pertama terletak 5 kilometer (km) barat Segamat pada kedalaman 10 km, sebelum beberapa gegaran lemah lain direkodkan termasuk magnitud 2.9 di Sri Medan, Batu Pahat.

Kejadian ini merupakan antara yang terpenting dalam sejarah moden Johor selepas kali terakhir gegaran besar direkodkan pada tahun 1922 di Muar.

*Pandangan pakar*

Pakar seismologi dan geologi bersepakat bahawa gegaran di Segamat berpunca daripada aktiviti sesar purba yang kembali aktif sebagaimana kenyataan Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Ts.Dr Mohd Zamri Ramli.

Beliau dilaporkan telah menjelaskan bahawa sesar Mersing dikenal pasti sebagai punca utama, dengan siri gegaran susulan membuktikan ia masih berpotensi aktif.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Nor Shahidah Mohd Nazer pula menegaskan bahawa anggapan Semenanjung Malaysia sebagai kawasan ‘tanpa risiko gempa bumi’ tidak lagi tepat.

Beliau menyeru supaya kod bangunan dikaji semula agar mampu menampung risiko seismik pada masa hadapan.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Malaya, Dr Harry Telajan Linang dilaporkan memberi amaran bahawa sesar purba di Semenanjung berupaya menghasilkan gegaran sehingga magnitud 6.0, walaupun risiko tersebut masih dianggap rendah hingga sederhana.

Sebagai langkah awal, dua stesen seismik baharu dijangka dibina di Segamat oleh MetMalaysia bagi memperkukuh sistem pemantauan seismik negara.

Sehingga kini dilaporkan Pejabat Daerah Segamat telah menerima 64 laporan kerosakan ringan melibatkan retakan pada dinding dan siling rumah penduduk, namun tiada kecederaan serius dilaporkan.

Lawatan Khidmat Malaysia dalam tinjauan ini memperlihatkan kesan nyata gempa bumi di kawasan yang sebelum ini jarang dikaitkan dengan aktiviti seismik.

“Insiden ini menjadi peringatan bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana perlu diperkukuh, dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, NGO dan masyarakat setempat,” kata Khairul Faizi. – HARAKAHDAILY 9/9/2025

- Advertisement -