Pemilikan harta menurut Islam

- Advertisement -

MAQASID Syariah merupakan satu maslahah. Sementara maslahah didefinisikan sebagai:

- Advertisement -

“المحافظة على مقصود الشرع، ومقصود الشرع من الخلق خمسة وھو أن یحفظ علیھم دینھم ونفسھم وعقلھم
ونسلھم ومالھم فكل ما یتضمن حفظھ ھذه الأصول الخمسة فھو مصلحة وكل ما یفوت ھذه الأصول فھو مفسدة
ودفعھا مصلحة”

“Menjaga maksud atau tujuan syarak. Terdapat lima tujuan syarak bagi makhluk, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka. Setiap perkara yang bermaksud untuk menjaga kelima-lima asas ini, merupakan maslahah, dan setiap perkara yang mampu memusnahkannya, adalah mafsadah, dan menghindari terjadinya mafsadah pula, juga merupakan maslahah”. (al-Ghazali, 1997:174)

Maqasid Syariah merupakan makna-makna atau tujuan-tujuan yang hendak dicapai oleh syarak dalam setiap hukum atau sebahagian besar hukumnya, yang mana intipati daripada tujuan pensyariatan tersebut adalah untuk merealisasikan kemaslahatan dan menghilangkan kemudaratan bagi manusia.

Imam al-Ghazali membahagikan maqasid kepada tiga peringkat, sebagaimana ungkapan beliau dalam kitabnya ‘Al-Mustasfa:

“تنقسم إلى ما ھي في رتبة الضرورات وإلى ما ھي في رتبة الحاجیات وإلى ما یتعلق بالتحسینیات”

Pada dasarnya maslahah terbahagi kepada peringkat ad-Daruriyyat, dan al-Hajiyyat atau at-Tahsiniyyat (al-Ghazali, 1997: 174). Imam al-Ghazali mendefinisikan ad-daruriyyat sebagai:

“ما لا بد منھا في قیام مصالح الدین والدنیا بحیث إذا فقدت لم تجري مصالح الدنیا على استقامة بل على فساد
وتھاریج وفوت حیاة وفي الأخرى فوت النعیم والرجوع بالخسران المبین”

“Sesuatu yang semestinya dipelihara dalam rangka menjaga kemaslahatan agama dan dunia. Apabila hilang kemaslahatan tersebut maka kemaslahatan dunia turut tidak stabil, malah akan mengalami kerosakan, kesulitan dan hilangnya kehidupan, selanjutnya akan hilanglah kenikmatan dan mendapatkan kerugian yang nyata.” (al-Ghazali, 1997: 174)

Daripada definisi di atas, dapat difahami bahawa ad-Daruriyyat, iaitu sesuatu yang wajib dipelihara untuk menjaga kemaslahatan agama dan dunia. Ia merupakan maqsad yang wajib dijaga demi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan hidup manusia baik di dunia maupun di akhirat. Oleh itu apabila maqsad ini tidak dijaga dengan baik, maka kehidupan manusia dalam pandangan syariat akan menjadi tidak stabil bahkan mengalami kerosakan, kesulitan dan hilangnya kehidupan, seterusnya akan hilanglah kenikmatan dan akan mendapat kerugian yang nyata.

Selanjutnya, Imam al-Ghazali telah membahagikan Maqasid ad-Daruriyyat kepada lima perkara dan memberikan jalan untuk memastikan maqasid itu terpelihara iaitu: (al-Ghazali, 1997: 174)

1. Menjaga agama; maka untuk memeliharanya diwajibkan berperang dan berjihad terhadap orang kafir yang menyesatkan, kerana jika hal ini dibiarkan ia akan melenyapkan agama.

2. Menjaga nyawa; maka diwajibkan hukum qisas kerana dengan ketetapan hukum seperti ini, jiwa manusia akan terpelihara.

3. Menjaga akal; maka diharamkan semua benda yang memabukkan atau mengkhayalkan, seperti dadah, arak dan yang sejenis dengannya.

4. Menjaga keturunan; maka untuk memeliharanya diwajibkan melaksanakan hudud ke atas penzina untuk memelihara kehormatan, keturunan atau nasab manusia.

5. Menjaga harta; lalu perintah potong tangan diwajibkan untuk para pencuri apabila memenuhi semua syarat untuk memelihara harta benda.

Hak pemilikan harta dalam Islam

Berdasarkan keterangan di atas, pemilikan (al-milkiyyah) diiktiraf sebagai hak yang dilindungi dalam Islam. Al-Qur’an dan Sunnah menegaskan bahawa harta tidak boleh diambil secara zalim:

“Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil…” (Al-Baqarah 2:188, An-Nisā’ 4:29)

Di dalam al-Mustaṣfā, Imam al-Ghazālī menegaskan bahawa ḥifẓ al-māl adalah salah satu keperluan utama (ḍarūriyyāt). Harta adalah amanah Allah, manusia hanyalah pemegang amanah, bukan pemilik mutlak. Walau begitu, pemilikan persendirian adalah halal dan suci, tidak boleh diambil tanpa hak. Beliau mengkritik penguasa yang merampas harta secara zalim (ẓulm).

Oleh itu sesiapapun, termasuk kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya merampas harta dengan apa-apa cara sekalipun. Namun kerajaan boleh campur tangan jika ada kepentingan umum (maṣlaḥah) yang sah menurut syariah.

Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam al-Fiqh al-Islāmī wa Adillatuh, beliau menghuraikan dengan panjang lebar mengenai hak harta. Beliau menggariskan hak-hak pemilik harta dengan meletakkan prinsip rinsip utama iaitu pemilikan harta adalah mutlak secara asas, tetapi terhad oleh syariah. Tiada siapa, termasuk kerajaan, boleh merampas harta tanpa alasan syariah.

Bila Kerajaan boleh mengambil atau merampas harta individu? Ia boleh dilakukan untuk tujuan zakat, kharaj, cukai yang adil. Kerajaan juga boleh mengambil harta atau tanah untuk kegunaan awam dengan pampasan yang adil. Kerajaan juga boleh merampas harta yang diperoleh secara haram.

Dr. Wahbah Al-Zuhaili dengan tegas menulis bahawa Kerajaan tidak boleh merampas harta sesuka hati atas alasan apapun kecuali yang di atas. Kerajaan juga tidak boleh menggunakan kuasa (akta dan seumpamanya) untuk menzalimi rakyat dan mengabaikan prinsip ḥifẓ al-māl. Sekiranya Kerajaan mahu campur tangan ia perlu memenuhi gabungan syarat berikut iaitu justifikasi syariah + keadilan + pampasan (jika relevan).

Jadi jelas kedua-dua ulama ini mengharamkan sesiapapun mengambil harta seseorang dengan apa cara sekalipun (ghaṣb) iaitu rampasan secara haram kecuali dengan tujuan yang dibenarkan syarak.

Pandangan Al-Ghazali dan Dr Wahbah Al-Zuhaili sejalan dengan pandangan Dr Yusuf al-Qardhawi. Cuma Al-Qardhawi lebih menekankan kepentingan hak dari sudut sosial dan kemasyarakatan yang juga tidak bercanggah dengan pandangan dua ulama yang telah saya nukilkan.

Mengapa tolak URA, kritikan dan kebimbangan:

1. Jelas URA mengenepikan hak pemilik harta yang sepatutnya menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memelihara harta. Secara jelas URA mengabaikan prinsip ḥifẓ al-māl.

2. Kuasa mutlak di tangan Menteri KPKT – pintu kepada salah guna kuasa dan favouritism – Menteri KPKT akan menjadi Pengerusi JK Eksekutif Persekutuan (FEC) yang bertanggungjawab memantau Pembangunan semula bandar di seluruh negara (usaha ambil alih kuasa tanah dari negeri).

a) Seksyen 5 meletakkan penjawat awam di bawah kuasa Menteri KPKT.

b) Seksyen 13 menghendaki EXCO Negeri mendapatkan kelulusan FEC untuk Pembangunan semula bandar (menghad kuasa negeri atas urusan tanah).

c) Seksyen 20 memberi kuasa Menteri KPKT menentukan pemaju yang layak untuk melaksanakan projek (membuka ruang favouritism).

*URA meliputi Pembangunan semula rumah pagsa, rumah kedai dan rumah persendirian.

3. Penghapusan Hak Pemilik – Seksyen 19.

Seksyen 57 Akta Pemilikan Strata 1985 menetapkan persetujuan 100 peratus untuk pengambilan aset bagi tujuan pembangunan semula. Akta ini menjamin hak pemilik. URA menghapus jaminan hak ini dengan menetapkan sekiranya pemaju berjaya mendapatkan 75 peratus persetujuan, kerajaan boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk merampas hartanah 25 peratus yang enggan. Hak 25 peratus pemilik dinafikan. Ambang persetujuan Adalah seperti berikut:

a. <30 tahun: 80 peratus.
b. ≥30 tahun: 75 peratus.
c. Rosak atau ditinggalkan: 51 peratus.

4. Menutup ruang perundangan kerana Tiada Hak Rayuan – Seksyen 31 dalam RUU ini melindungi pihak berkuasa di bawah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948, menjadikan rakyat tidak mempunyai saluran undang-undang untuk mencabar keputusan yang dibuat kelak.

5. Ambang usia bangunan tak munasabah – URA membenarkan pembangunan semula selepas 30 tahun (lihat 2 a.), walaupun Jabatan Kerja Raya menganggarkan bahawa kebanyakan bangunan bertahan 70 hingga 80 tahun. Ada peminjam yang meminjam sehingga 35 tahun. Ini sudah tentu merugikan dan membebankan pemilik.

6. Akan berlaku Gratifikasi: Akta itu tidak mempunyai mekanisme untuk menghalang gentrifikasi dan memberikan jaminan kehidupan jangka panjang yang mencukupi kepada penduduk asal. Dia menekankan pengawasan yang diterajui kerajaan dan bukannya pembangunan semula yang didorong oleh pemaju.

(Gentrifikasi ialah proses perubahan suatu wilayah, seperti lingkungan kota atau desa, di mana terjadi peningkatan kualiti ekonomi, infrastruktur, dan fizikal yang diikuti oleh masuknya penduduk baru yang lebih kaya atau kelas menengah.)

7. Tiada jaminan ‘Nilai Pasaran Saksama’ – Walaupun Menteri KPKT menyatakan ‘pemilik akan dibayar pampasan tidak kurang dari nilai semasa’. Ia tidak memberi jaminan pemilik mendapat pampasan sewajarnya dan saksama kerana Seksyen 24(a) hanya menyebut secara umum: “pemilik yang terlibat hendaklah menerima “tawaran faedah yang tidak kurang baiknya daripada tawaran faedah yang ditawarkan sebelum projek pembaharuan semula bandar dijalankan”.

Contoh: Razak Mansion.

Adakah pemilik rumah akan dibayar pampasan sebanyak RM418,000 (nilai pasaran selepas pembangunan semula)?

Jawapan ringkas: Tidak mungkin. Pemilik tidak akan menerima bayaran tunai sebanyak RM418,000. Sebaliknya, mereka akan:

Diberi unit gantian (rumah baru) — bukan wang tunai.

Unit baru itu mungkin (?) lebih besar atau lebih bernilai (Tiada jaminan dan tidak ada dalam URA).

Bukan pampasan tunai terus bernilai RM418,000.

8. Nilai pasaran – Siapa yang akan menentukan? Menteri? Pemaju? Pihak ketiga?

Cadangan penambahbaikan:

1. Ambang persetujuan sekurang-kurangnya 95–100 peratus dengan pilihan ikut serta bagi mereka yang pada mulanya tidak bersetuju. (Walaupun saya masih berpegang kepada persetujuan 100 peratus berdasarkan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.)

2. Tiada pembangunan semula untuk bangunan kurang dari 40 tahun.

3. Kuasa tidak dipusatkan kepada Menteri KPKT.

4. Kuasa pengambilan tanah dihadkan.

5. Pampasan yang adil melebihi nilai pasaran, dengan perkongsian untung untuk pemilik dan mengambil kira:  pelaburan asal termasuk faedah (atau harga jualan institusi kewangan kepada pembeli jika menggunakan pembiayaan Syariah) + baki pinjaman + kos penempatan semua.

6. Sediakan ruang rayuan di mahkamah berkaitan pampasan atau nilai gantian.

7. Jika pampasan diberi dalam bentuk penggantian unit, unit baru mestilah tidak kurang dari 75 peratus nilai unit yang akan dibina atau keluasan unit mestilah 50 peratus lebih luas daripada unit asal. Unit baru mestilah mengandungi sekurang-kurangnya 3 bilik.

8. Peraturan yang lebih ketat mengenai kelayakan pemaju.

9. Jaminan terhadap projek terbengkalai.

10. Menyediakan ‘Tabung Amanah’ untuk penyelenggaraan bangunan dan kemudahan awam.

DR MOHD FUAD MOHD SALLEH
Bangi, Selangor – HARAKAHDAILY 9/9/2025

- Advertisement -