
ARAU: Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Tuan Guru Ahmad Ali menitipkan pesanan penuh makna kepada seluruh ahli gerakan Islam, khususnya ahli PAS, agar sentiasa berpegang kepada disiplin berjemaah, menjaga adab dalam bermesyuarat serta menghormati keputusan syura.
Menurut beliau, dalam perjuangan Islam yang tersusun, dua perkara besar wajib dijadikan pegangan.
Pertama katanya, setiap ahli mesti patuh kepada peraturan dan undang-undang jemaah yang ada, walaupun peraturan itu mungkin dilihat tidak sempurna, ia tetap perlu diikuti selagi belum diubah secara rasmi.
“Kalau ada cacat di sana-sini, ubahlah untuk masa akan datang. Tetapi dalam masa sekarang, patuhilah peraturan yang ada,” tegasnya.
Kedua jelasnya, segala keputusan terutama yang menyentuh soal dasar dan perkara besar hendaklah diputuskan melalui syura.
“Mesyuarat-mesyuarat kita ada tempat-tempat khas dia, ada forum-forum dia yang tertentu, macam pejabat-pejabat kita, mesyuarat di situ, jangan mesyuarat di ceruk sana ceruk sini, jangan mesyuarat lagu tu, itu bukan menyelesaikan masalah,” katanya ketika ditemui Harakahdaily.
Jelas Tuan Guru, mesyuarat di peringkat cawangan, kawasan atau negeri merupakan medan terbaik untuk menyuarakan pandangan, jika keputusan telah dibuat, ia mesti dihormati walaupun berbeza dengan pendirian peribadi.
“Walaupun kita tidak setuju dengan pendapat itu, bila ia menjadi keputusan jemaah, maka kita kena patuh dan hormat,” ujarnya turut mengingatkan bahawa mesyuarat dalam Islam mesti dijalankan dengan adab, sopan dan penuh akhlak.
Peringat beliau, kata-kata kesat, kekecohan, malah insiden membaling kerusi tidak mencerminkan mesyuarat Islam.
Mengaitkan dengan sejarah Islam berpandukan kitab Petir Yang Membakar, beliau menegaskan bahawa prinsip syura telah dipraktikkan sejak zaman para Sahabat RA selepas kewafatan Rasulullah SAW.
Ketika itu, mereka berhimpun memilih pengganti kepimpinan ummah, Saidina Umar RA berhujah bahawa Abu Bakar RA layak memimpin kerana telah dipilih Rasulullah SAW menjadi imam solat sewaktu Baginda gering.
“Ini kaedah qias yang digunakan oleh Umar. Kalau Rasulullah SAW memilih Abu Bakar untuk mengimami solat, maka tidak perlu ragu lagi memilih beliau untuk memimpin umat dalam urusan keduniaan.
“Di sini saya faham, bahawasanya Umar RA memberi syarat kepada satu kaedah dalam Islam, kaedah qias, qias ni satu konsep, satu kaedah yang diguna pakai oleh ulama-ulama dalam metodologi untuk mengambil hukum dari sumbernya Al Quran dan Hadis,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan jemaah perlu dihormati sebagaimana imam dalam solat, jika tersilap, wajib ditegur tetapi dengan penuh adab dan sopan.
“Kalau dia silap kita boleh tegur, malah kadang-kadang wajib kita tegur, dalam solat jemaah kalau imam silap, silap yang menjelaskan solat, makmum kena tegur, tegur macam mana, tegur secara adab sopan, ‘Subhanallah’.
“Mudah-mudahan dia sedar dan dia perbetul kesilapan dia, tapi kalau dia terus dalam kesalahan itu, tegur macam mana pun, kita kena mufarraqah, itu hukum dalam solat.
“Jadi hukum kepada pimpinan lain daripada solat pun perlu ambik contoh daripada itu. Ertinya kalau pemimpin kita silap kita tegur dalam mesyuarat tapi nak tegur macam mana, tegur secara adab sopan, bukan kita kata yang tak elok,” jelas beliau.
Menurut beliau, dalam mesyuarat setiap orang tidak boleh paksa orang lain untuk ikut pendapatnya, sebaliknya memberi pendapat dengan menunjukkan rasional, namun jika orang tidak terima tidak mengapa.
“Jangan orang tak terima pendapat kita, kita nak marah, itu tidak boleh bukan macam itu mesyuarat,” tegas beliau.
Mengulas peristiwa lain, Tuan Guru Ahmad menyebut kisah Saidina Abu Bakar RA yang enggan terus mengimami solat ketika Rasulullah SAW hadir walaupun Baginda memberi isyarat agar beliau kekal.
“Saidina Abu Bakar tiada pilihan lain, kalau sudah ijmak kata (pilih) dia, dia tampil ke depan jadi imam, bila dia angkat takbir, dia dengar Rasulullah SAW takbir dibelakang dia, di saf yang pertama.
“Saidina Abu Bakar undur, dia yakin bahawa suara itu suara Nabi SAW, dia undur, bila undur Nabi SAW isyaratkan jangan undur, dia undur juga, sampai 3 kali isyarat.
“Maka Rasulullah SAW melangkah ke depan mengimamkan jemaah, bila selesai solat, Rasulullah SAW tanya Saidina Abu Bakar kenapa kamu bantah, bila aku isyarat kamu jangan undur, kamu undur juga,” ujar beliau.
Jawapan Abu Bakar, ‘layakkah anak Abi Quhafah menjadi imam sedangkan Rasulullah SAW ada bersama?’, Rasulullah SAW senyum mendengar kata-kata Saidina Abu Bakar menunjukkan betapa tinggi adab yang dimiliki oleh beliau.
“Ulama-ulama hadis semua mengatakan senyum itu menunjukkan bahawa satu ‘confirmation’ daripada Nabi SAW bahawa apa yang dicakap oleh Saidina Abu Bakar itu sebenarnya benar,” kata beliau.
Ulama kemudian merumuskan kaedah ‘iza taarada bainal mughtadi wal adab, ghuddimal adab’ yang bermaksud ‘kalau satu perkara yang bertentangan di antara arahan dan tuntutan adab, diutamakan tuntutan adab’.
Mengakhiri pesanan, Tuan Guru menegaskan bahawa jika adab, disiplin dan keputusan syura dijadikan panduan, tidak akan timbul perkara negatif atau perpecahan dalam jemaah.
“Beri pandangan dengan ikhlas, kalau diterima alhamdulillah, kalau tidak pun kita hormat keputusan jemaah. Inilah pedoman yang akan menjamin kekuatan gerakan Islam,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 9/9/2025











