Kedah: Sejarah, ekonomi dan kedaulatan

Dr Ibrahim di samping antara karyanya
- Advertisement -

ALOR SETAR: “Kalau kita tak jaga sejarah sendiri, orang lain akan tentukan cerita kita,” demikian kata Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Dr Ibrahim Bakar.

- Advertisement -

Berusia 73 tahun, hampir separuh abad hidupnya ditumpukan untuk membongkar, menulis dan membukukan sejarah kerajaan Islam khususnya di rantau Asia Tenggara, dengan fokus kepada Kedah.

Berbeza dengan ramai tokoh memilih berdakwah atau menceburi politik, Dr Ibrahim memanfaatkan kebolehan menulis, mengumpul maklumat, menterjemah manuskrip dan menghasilkan buku-buku ilmiah yang kekal menjadi rujukan generasi akan datang.

Baginya, acara atau program mungkin tamat dalam sehari, tetapi buku mampu bertahan ratusan tahun, dilihat, dibaca dan dirujuk oleh masyarakat pada masa depan.

Antara usaha penting beliau ialah menterjemah Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman iaitu manuskrip yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan didaftarkan Warisan Dunia pada 8 Mei 2024.

Manuskrip ini, ditulis oleh Muhammad Hassan Dato’ Kerani Muhammad Arshad pada 5 Januari 1927 bersamaan 1 Rejab 1345 Hijrah dalam tulisan jawi dan berada dalam simpanan Pusat Koleksi Manuskrip Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ia mengandungi maklumat sejarah Kedah yang tepat dan mendalam termasuk garis masa pemerintahan, peristiwa besar dan tokoh penting negeri.

“Buku ini bukan sahaja penting untuk orang Kedah, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia. Kita sedang usahakan untuk diangkat menjadi karya agung,” ujarnya.

Selain menterjemah karya agung tersebut, Ibrahim turut menghasilkan hampir 20 buku pelbagai tema sejarah dan budaya, antaranya Pengenalan Mata Wang Alam Melayu Zaman Tradisional yang turut menembusi pasaran Indonesia.

Bagi beliau, penulisan yang berasaskan kajian lapangan, rujukan manuskrip dan sumber primer adalah kunci untuk memastikan fakta sejarah kekal tepat dan berautoriti.

Menurut Ibrahim, satu indikator utama kekuatan sesebuah kerajaan ialah keutuhan ekonominya, khususnya kestabilan mata wang.

“Amerika Syarikat kita anggap kuat kerana mata wang mereka kukuh. Jepun, Singapura semua kerana ekonomi mereka stabil. Begitu juga Kedah pada zaman dahulu. Mata wangnya hebat, ekonomi kukuh, maka kerajaannya kuat,” jelas beliau.

Beliau memiliki hampir 2,000 keping koleksi mata wang lama yang suatu hari nanti diharap dapat dipamerkan dalam galeri khas, kerana baginya, wang lama bukan sekadar objek antik, tetapi ‘cerita’ tentang hubungan dagang, pengaruh politik dan kekuatan sesebuah kerajaan.

Bercakap tentang kemerdekaan, beliau menegaskan pentingnya memahami makna sebenar ‘merdeka’, di mana berdasarkan rujukan Kamus Dewan, merdeka bermaksud bebas dari penjajahan atau tuntutan pihak lain.

“Bebas di sini bukan bermakna tiada peraturan. Sama seperti individu, walaupun bebas dari kawalan keluarga bila dewasa, kita tetap tertakluk pada undang-undang Allah, Al-Quran, hadis dan peraturan masyarakat,” katanya.

Beliau menolak naratif bahawa Kedah pernah dijajah sepenuhnya, tetapi sejak penubuhan Kesultanan Kedah pada 1136 Masihi di bawah Sultan Muzaffar Shah, kedaulatan negeri sentiasa terpelihara walaupun ada hubungan naungan dengan kerajaan-kerajaan besar seperti Sriwijaya, Langkasuka, atau Perlak.

“Orang Portugis, Belanda, British datang ke rantau ini, tapi kuasa mereka terhad. Melaka mereka kuasai, tapi kerajaan-kerajaan lain seperti Kedah, Aceh, Jawa mereka tidak mampu tawan sepenuhnya. Kedah kekal ada undang-undang sendiri,” jelas beliau.

Masyarakat Kedah pernah melalui fasa kepercayaan Hindu-Buddha sebelum Islam mula disebarkan di sini, dipercayai akibat pengaruh pedagang dari India, sebelum berikutnya Islam masuk secara aman ke Kedah seawal abad ke-9 Masihi.

Antara bukti awal kehadiran masyarakat Islam ialah penemuan batu bersurat Ibnu Sirdhan bertarikh 214 Hijrah bersamaan 829 Masihi di Tupah, Lembah Bujang, di mana di situ juga ditemui mata wang Khalifah Almutawakkil dari Kerajaan Abbasiyah.

Islam dipercayai bertapak kukuh di Kedah selepas dibantu kerajaan Perlak dan Sumatera, walaupun menghadapi penentangan daripada kelompok Melayu yang masih menganut Buddha.

Menurut Ibrahim, sejarah Kedah juga tidak dapat dipisahkan daripada konflik agama di Asia Tenggara termasuk peperangan antara penganut Islam dan Buddha yang sering digambarkan sebagai perang musuh bisik dalam sejarah tempatan.

Walaupun mengakui persatuan tidak banyak menganjurkan acara berskala besar, beliau menegaskan peranan mereka sebagai pemangkin penyelidikan, penerbitan dan pemeliharaan bahan sejarah.

“Kita berusaha bina pusat rujukan masyarakat. Kerajaan negeri dah beri sebuah rumah untuk dijadikan pusat aktiviti dan mini perpustakaan. Kita simpan artikel, manuskrip, koleksi, dan bahan rujukan untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya menulis kerana penulisan akan kekal menjadi dokumen rujukan rasmi, lebih kukuh daripada memori lisan semata-mata dan baginya, memupuk semangat patriotisme tidak dapat lari daripada mengukuhkan kesatuan rakyat.

“Kalau kita fokus pada perbezaan, kita akan berpecah. Kena cari persamaan, satukan pendidikan kebangsaan, satukan bahasa pengantar seperti di Thailand, Indonesia, Amerika.

“Kalau tak mahu ikut satu pengantar pendidikan, bererti kita tak mahu mengakui kedaulatan Raja yang memerintah sesuatu negeri, ini adalah punca masalah kurang perpaduan rakyat.

“Kita bukan bangsa lekeh. Sejarah kita membuktikan Kedah berdiri sebagai kerajaan berdaulat sejak ratusan tahun. Jangan biarkan orang lain menulis sejarah kita nanti kita hanya jadi watak sampingan dalam kisah tanah air sendiri,” katanya.

Beliau dianugerahkan Anugerah Khas Pemuziuman Negara sempena Hari Muzium Negara Peringkat Kebangsaan pada 29 Julai lalu yang berlangsung di Muzium Padi, di sini. – HARAKAHDAILY 9/9/2025

- Advertisement -